Nasional

MAIPs amalkan budaya turun padang

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited untuk terus melipatgandakan usaha bagi mengamalkan budaya ‘turun padang’ dalam menjayakan segala inisiatif yang dirancang.

Pendekatan yang mengutamakan elemen ‘mendekati’ dan ‘menyantuni’ sebelum ini telah sebati sebagai salah satu kekuatan MAIPs untuk membantu golongan sasar selain mendapatkan maklumat yang tepat dan benar terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi ‘Kayuhan MAIPs Peduli’ Bilangan ke 60 dan penutup bagi tahun 2021 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Alwi, Kangar pada petang semalam.

Dalam program tersebut, selain singgah menyantuni Zambree Bulat, Zainab Salim dan Fatorini Keria, baginda turut berkenan menyerahkan RM21,000 sumbangan MAIPs kepada amil kariah masjid berkenaan, Ustaz Ismail Hashim untuk diagihkan kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang.

Menurut Mohd Nazim lagi, ‘Walaupun terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun sepanjang tahun 2021, Tuanku Raja Muda telah berkenan mengetuai sendiri sebanyak 60 kali kayuhan yang melibatkan 1,530 asnaf disantuni dengan sumbangan sebanyak RM1.071 juta telah diagihkan melalui program ini sahaja’.

Tambah beliau, ‘Semenjak pelaksanaan program ‘Kayuhan MAIPs Peduli’ diadakan bermula 2013, sebanyak 704 kali kayuhan telah dilaksanakan oleh baginda yang turut diiringi oleh Ketua-ketua jabatan dan juga pihak swasta yang memberikan manfaat kepada sebanyak 36,310 penerima asnaf dan melibatkan jumlah sumbangan sekitar RM22,897,200’.

Untuk rekod, MAIPs turut menempatkan wakil-wakilnya dalam komuniti masyarakat seperti Amil di 102 Kariah selain ‘Guru Muraqib Amil’ di semua sekolah dalam negeri ini termasuk wakil-wakil di Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Perlis.

Baginda serta seluruh peserta turut singgah di Tanah Perkuburan Kg Tok Paduka Kangar bagi menziarahi pusara salah seorang ahli kayuhan TTG Perlis iaitu Allahyarham Ahmad Rizuan Abdul Rani yang baru sahaja kembali ke rahmatullah pada 29 Disember baru-baru ini.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button