Nasional

MAIPs agih tambahan sumbangan aktiviti dakwah, kemasyarakatan

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan tambahan sumbangan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan berjumlah RM130,000 kepada rumah-rumah kebajikan seluruh negeri Perlis dalam satu majlis simbolik yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Perkarangan Galeri DiRaja Arau pagi tadi.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshee.

“Selain berusaha membantu sebahagian pengurusan rumah-rumah kebajikan yang berkeperluan, MAIPs melihat aspek tarbiah dan pembudayaan ilmu merupakan perkara yang harus diberikan penekanan di rumah-rumah kebajikan bertujuan mewujudkan keseimbangan modal insan unggul,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs lagi, keseimbangan antara pembangunan jiwa dan intelektual amatlah penting ke arah mewujudkan persekitaran rumah kebajikan di negeri ini yang mampu memberikan ketenangan serta mengangkat nilai tinggi adab dan akhlak di kalangan penghuninya.

Dalam hubungan itu,  Mohd Nazim berkata, selain tambahan peruntukan tersebut, ia turut memperuntukkan penyediaan guru-guru agama melalui seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

MAIPs turut memperuntukkan sumbangan bantuan untuk aktiviti-aktiviti ilmu yang dilaksanakan di pusat-pusat kebajikan seluruh negeri Perlis.

Selain itu, ia juga bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis dan Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis dalam menilai aktiviti-aktiviti yang sesuai sebagai pelengkap program sedia ada yang dilaksanakan oleh pengurusan rumah kebajikan dari masa ke semasa.

Rumah-rumah kebajikan yang terdiri daripada pusat jagaan anak-anak asnaf, rumah anak yatim, rumah perlindungan dan rumah warga emas seluruh negeri Perlis menerima tambahan sumbangan untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di pusat-pusat berkenaan.

Agihan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif majlis itu untuk menambah pengisian ilmu dan tarbiah kepada para penghuni di rumah-rumah kebajikan.

Syed Aisam pula menerangkan bahawa MAIPs juga melaksanakan ‘Program Jalinan Kasih Bersama Anak-Anak Yatim Seluruh Negeri Perlis’ semenjak tahun 2014 lagi yang bermatlamatkan untuk mencungkil bakat dan jatidiri para penghuni rumah anak yatim seluruh negeri Perlis. Program tahunan tersebut dilaksanakan di pelbagai lokasi di seluruh negara dan diserikan lagi dengan keberangkatan sama oleh Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis. – SM

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button