Nasional

MAIPs permudahkan zakat atas talian ekoran pandemik COVID-19 dan PKP

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melancarkan beberapa kaedah pembayaran melalui atas talian untuk mempermudahkan umat Islam menunaikan ibadah zakat.

Langkah berkenaan diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs yang diambil ekoran penularan pandemik wabak COVID-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demikian menurut kenyataan yang disiarkan oleh MAIPs hari ini.

Walaupun Perlis tidak lagi mencatatkan pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19 dan berkemungkinan akan menjadi antara negeri terawal diisytiharkan sebagai ‘zon hijau’, namun langkah-langkah keselamatan perlu dilaksanakan dengan mengekalkan momentum pengawalan sedia ada supaya tidak mengundang ‘gelombang kedua’ serangan wabak berkenaan.

Antara kaedah pembayaran atas talian yang diperkenalkan MAIPs adalah melalui Aplikasi “SnapNPay” yang boleh dimuat turun dari “Google Play” dan “App Store”. Inisiatif ini merupakan kerjasamanya dengan Snapnpay Digital Sdn Bhd menggunakan platform “Financial Process Exchange (FPX)”.

Apa yang menarik, pihak penyumbang boleh menunaikan ibadah zakat fitrah dan zakat harta lain seperti zakat pendapatan, simpanan, emas, dan sebagainya di mana ia boleh ditunaikan dengan menggunakan Aplikasi SnapNPay dengan hanya mengimbas pada kod QR selain boleh melaksanakannya melalui butang pilihan tanpa perlu mengimbas pada kod QR. Manakala untuk zakat fitrah pula, ia juga boleh ditunaikan dengan mengimbas melalui pengimbas kod QR (QR Scanner) di telefon bimbit masing-masing.

MAIPs turut melaksanakan kutipan atas talian melalui pemindahan wang ke akaun MAIPs di Bank Islam Malaysia Berhad (090 100 100 552 90), turut boleh menggunakan perkhidmatan atas talian maybank2u, CimbClicks selain bakal melaksanakan sistem pembayaran melalui “Financial Process Exchange (FPX)”di laman portal rasmi MAIPs.

Para penyumbang boleh menyemak penyata pembayaran zakat masing-masing melalui laman portal MAIPs untuk rujukan masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan penggunaan kaedah pembayaran atas talian MAIPs sama ada zakat, wakaf dan sumber am boleh melayari laman portal rasmi MAIPs, www.maips.gov.my

Buat masa ini, MAIPs juga sedang meneliti beberapa lagi kaedah atas talian lain untuk mempermudahkan lagi umat Islam melaksanakan ibadah zakat dengan cepat dan tidak berisiko. Apa yang diperkenalkan MAIPs ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif MAIPs dalam menyekat penularan wabak COVID-19.

Selain melaksanakan kaedah atas talian, MAIPs turut mengekalkan kutipan melalui 102 amil di setiap kariah dan turut mewujudkan kaunter pandu lalu di 3 lokasi berasingan dengan mengetatkan penjarakan sosial, serta elemen kebersihan untuk menghentikan rangkaian penularan wabak berkenaan. MAIPs telah lama mempraktikkan tiada kewajipan untuk berjabat salam ketika melaksanakan bayaran zakat dan tidaklah janggal untuk mempraktikan norma baharu pasca PKP dan penularan pandemik COVID-19.

Dalam masa sama, peranan amil kariah dan Muraqib Amil di sekolah-sekolah seluruh Negeri Perlis dalam memantapkan agihan zakat turut diperkemaskan. Dari sudut penggunaan kemudahan atas talian, pemohon boleh memuat turun borang permohonan bantuan di laman portal MAIPs termasuk bantuan am dan bantuan pelajaran, selain boleh menyemak status permohonan serta membuat kiraan kelayakan asnaf.

Untuk rekod, MAIPs telah melantik 102 amil kariah dan 101 Guru Muraqib Amil di sekolah-sekolah seluruh Negeri Perlis untuk membantu mengenalpasti asnaf yang layak menerima bantuan. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button