Politik

Mahathir akan mengadap Yang di-Pertuan Agong?

TUN Dr. Mahathir Mohamad yang baharu dipecat dari Bersatu dikatakan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana telah mempunyai jumlah sokongan yang cukup ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Blogger Pakatan Harapan (PH), Shahbudin Husin mendakwa Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi mengantikan Perikatan Nasional (PN).

Dari segi bilangan ahli parlimen atau nombor yang ada, berapa jumlahnya sama ada 113, 115, 120 atau 129 bukanlah perkara mustahak kerana yang penting ia lebih daripada jumlah minimum 112, katanya

Blogger Raja Petra Raja Kamarudin turut membangkitkan isu berkenaan.

Turut dipecat dari Bersatu hari ini ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran ke Facebooknya menyarankan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan sahaja Parlimen dan mengembalikan mandat ke tangan rakyat.

“Sementara itu Tahun 2008: “We have the numbers” kata Anwar. Feb 2020: “We have the numbers” kata Lid. Mei 2020: “We have the numbers” kata blogger Anwar,” ujar Najib

Najib berkata, jika benar-benar cukup nombor untuk tumbangkan kerajaan PN, keluarkan saja sekurang-kurangnya 112 Akuan bersumpah (SD) sebagai bukti.

“Tak payah tunggu parlimen bersidang. Keluarkan sahaja sekarang. Dan jikapun PH cukup nombor, nombor itu adalah tipis dan kerajaan PH 2.0 adalah kurang stabil.

“Lompat seorang-dua je, kerajaan akan tukar tangan lagi.

“Oleh itu, YDP Agong boleh gunakan kebijaksanaan dan kuasa baginda untuk bubarkan parlimen bagi menyelesaian masalah ketidakstabilan politik negara,” kata Najib.

Kerajaan PH tumbang Februari lalu setelah Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri.

Susulan daripada itu Bersatu dan beberapa ahli parlimen PKR pimpinan Azmin Ali mengumumkan keluar daripada PH.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen sebelum berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan melalui gabungan Bersatu dengan Barisan Nasional, GPS dan Pas.

Sementara itu PKR mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka telah bersedia untuk mengambil-alih kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri.

Datuk Johari Abdul yang mewakili 39 ahli parlimen dari PKR memberitahu telah mengadakan satu pertemuan secara atas talian hari ini.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan termasuk melipatgandakan usaha penelitian dan penggubalan dasar-dasar yang mengutamakan nasib rakyat, serta keperluan untuk mengemaskini gerak langkah memperkukuh agenda Reformasi di dalam dan luar Parlimen.

Pada masa yang sama, jelas beliau perbincangan itu turut mengambil maklum bahawa proses rundingan dan perbincangan dengan semua pihak masih berterusan, demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.

“Ini bukan pertarungan dalam kalangan elit politik untuk merebut kuasa, tetapi sebaliknya adalah usaha membawa agenda Reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat.

“Sebarang peralihan kuasa perlu berlaku sepertimana yang dijanjikan, berjalan dengan tertib dan aman, serta mengikut lunas undang-undang,” katanya. – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button