EkonomiNasional

KeTSA tawar 1,000MWac bawah LSS@MenTARI

PELUANG baik bagi syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan memiliki sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan yang berminat untuk menyertai  Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI).

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Suruhanjaya Tenaga akan menawarkan kuota solar sebanyak 1,000MWac melalui proses bidaan kompetitif di bawah Program LSS@MEnTARI atau Program Large Scale Solar By Malaysian Electricity Industry To Attract RE Investment bermula pada 31 Mei 2020.

Tawaran kuota ini adalah yang terbesar di rantau ASEAN dan julung kali ditawarkan kepada syarikat pengendali kuasa tenaga solar.

Memetik kenyataan akhbar, Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementerian juga telah menetapkan supaya kapasiti maksimum yang boleh dibida oleh setiap pemaju diturunkan kepada 50MWac berbanding 100MWac dalam Program Large Scale Solar Pusingan Ketiga (LSS-3).

Ini bagi membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai penggiat atau pemain dalam industri solar tempatan untuk turut serta dalam bidaan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk tujuan tersebut, dua pakej akan ditawarkan iaitu Pakej 1 dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 500MWac. Bagi pakej ini, julat kapasiti yang ditawarkan ialah di antara 10MWac hingga kurang daripada 30MWac; dan

Pakej 2 dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 500MWac: Bagi pakej ini, julat kapasiti yang ditawarkan ialah di antara 30MWac hingga 50MWac.

Kapasiti maksimum yang boleh dibida oleh setiap pemaju ialah 50MWac dan setiap pemaju hanya boleh mengemukakan tidak lebih daripada 3 bidaan sahaja.

“Melalui penawaran dua pakej ini, Kementerian berharap agar lebih banyak syarikat tempatan sama ada yang kecil mahupun yang besar, dapat turut serta dalam membangunkan industri solar negara,” kata Dr. Shamsul Anuar dalam kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, pihak kementerian yakin pembida-pembida akan dapat menawarkan harga yang kompetitif melalui proses bidaan ini.

“Selaras dengan hasrat Kementerian agar LSS@MEnTARI ini akan dapat merancakkan semula ekonomi negara secepat mungkin, tempoh serahan dokumen bidaan telah dipendekkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini bagi memastikan pelaksanaan projek-projek solar ini dapat dimulakan dengan segera iaitu sebelum penghujung tahun 2020,” ujar kenyataan itu.

Melalui pelaksanaan Program LSS@MEnTARI ini, Kementerian menjangkakan pelaburan sebanyak RM4 bilion akan dijana dengan pembukaan 12,000 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Loji-loji jana kuasa solar di bawah Program LSS@MEnTARI ini dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023.  – SM

 

(Visited 371 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button