Mahasiswa mahu BN menang PRU15
Mahasiswa Melaka daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang pulang ke negeri ini untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih percaya Barisan Nasional (BN) untuk menguruskan pentadbiran negara.
Mereka menyifatkan sewaktu pemerintahan BN selama 62 tahun lalu soal pendidikan dan kebajikan pelajar tidak pernah diabaikan malah kerajaan begitu mengambil berat setiap keluh kesah pelajar di mana-mana IPTA.
Seorang mahasiswa Muhammad Aiman Abdul Latif, 21, mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di Universiti Malaya berkata, beliau lebih percaya BN daripada parti-parti lain kerana ia sudah terbukti kemakmuran yang dinikmati sebelum ini.
Katanya, sejak BN memerintah pelajar di IPTA tidak pernah diabaikan malah soal kebajikan turut diberikan perhatian sewajarnya.
“BN telah buktikan mereka mampu membangunkan negara dan khusus bagi kami sebagai pelajar banyak bantuan-bantuan daripada kerajaan yang diterima khususnya dari keluarga B40.
“Ini kali pertama saya mengundi dan sangat teruja serta tidak sabar menunggu hari Sabtu ini untuk keluar mengundi,” ujarnya ketika ditemui sewaktu Program Calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali menyantuni mahasiswa di perkarangan parkir Masjid Al-Alami, MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.
Bagi Filzah Rizal, 19, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor berkata, beliau begitu teruja apabila kali pertama melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRU15, Sabtu ini.
Menurutnya, dia lebih percaya untuk BN memenangi pilihan raya ini kerana parti itu sudah membuktikan keupayaan mereka tidak pernah mengabaikan soal kebajikan, bantuan dan sebagainya terhadap golongan pelajar.
“Saya tak nafikan BN berjaya mewujudkan kestabilan politik sejak selepas kemerdekaan apabila mereka tewas pada PRU14, keadaan politik negara tidak stabil dan ini memberi kesan kepada kami,” ujarnya.
Katanya, dia pulang kerana teruja untuk keluar mengundi dan mendoakan BN memenangi PRU15 nanti.
Bagi Muhaimin Mohd. Nor, 20, dari Univeriti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim mengikuti Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Teknologi berkata, pada mulanya tidak berat hati untuk balik mengundi.
Katanya, setelah berfikir banyak kali akhirnya dia mengambil keputusan untuk balik dan melaksanakan tanggungjawab mewakili anak muda yang mahukan kerajaan yang stabil dapat dibentuk.
“Saya akan mengundi di Parlimen Hang Tuah Jaya dan tentu saya akan pilih calon BN walaupun calon Pakatan Harapan (PH) Adam Adli adalah bekas pelajar UPSI,” ujarnya. – SM