Ekonomi

Lebih 800 peserta dari Kelantan sertai program bimbingan usahawan SSM

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menganjurkan Program Bimbingan Usahawan (PBU24) peringkat negeri Kelantan yang merupakan siri pertama bagi tahun 2024 dengan lebih 800 penyertaan dari negeri tersebut.

PBU24 dianjurkan bertujuan untuk memberikan sokongan bimbingan dan peluang kepada usahawan tempatan memperkukuh dan memajukan perniagaan mereka di samping menjadi platform terbaik untuk meneroka dan mempelopori ilmu keusahawanan dengan menggabungkan pengetahuan perniagaan kontemporari dengan teknologi dan digitalisasi terkini.

Program yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu ni telah dirasmikan Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof, .

Dalam ucapan, Ahmad Sabki berkata, pendedahan terhadap asas keusahawanan ini mampu membentuk pemikiran usahawan yang kreatif dan inovatif dalam mencipta peluang pasaran perniagaan yang lebih berdaya saing melalui pemahaman tentang pengurusan, pemasaran, operasi, dan strategi perniagaan yang berjaya.

Beliau berkata, dalam mencapai objektif ini, SSM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti perniagaan berkenaan kepentingan pendaftaran perniagaan, strategi perniagaan dan serta kaedah pemasaran digital dalam menjalankan perniagaan.

Tambah beliau, salah satu inisiatif SSM bagi menggalakkan rakyat menceburi bidang perniagaan adalah dengan menawarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan dalam kalangan pasangan suami isteri B40 serta pelajar IPT sepenuh masa dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.

Sejak SPPP mula diperkenalkan sehingga 30 April 2024, jumlah perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma di bawah skim ini adalah sebanyak 110,004 yang terdiri daripada 53,421 pelajar IPT sepenuh masa dan 56,583 usahawan kumpulan B40.

Semasa program berlangsung, SSM juga telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM70,000, antaranya kepada masjid, surau, sekolah dan usahawan asnaf serta sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM15,000 kepada Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan dan golongan yang memerlukan.

Dari 1 Januari 2024 sehingga 30 April 2024, SSM telah mengagihkan dana WZK sebanyak RM2.426 juta kepada 5,297 penerima asnaf di seluruh negara. Manakala bagi tempoh yang sama, SSM telah mengagihkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM217,897 kepada 150 penerima yang memerlukan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button