Ekonomi

Lebih 300 usahawan mikro di Bazar Karat Johor Bahru terima manfaat insentif khemah

LEBIH 300 usahawan mikro di Bazar Karat Johor Bahru yang menyertai program pendigitalan pasar tanpa tunai Jajahan Rakyat, baru-baru ini menerima manfaat insentif khemah yang turut dilengkapi dengan kaedah pembayaran digital Bank Rakyat.

Bazar Karat Johor Bahru telah dipilih sebagai lokasi perintis bagi menjayakan jaringan kerjasama strategik antara Bank Rakyat dengan Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) serta Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru (PPKBK).

“Inisiatif ini adalah bagi menyokong dan memperkasa usahawan mikro di Bazar Karat dengan menyediakan kemudahan khemah dan ekosistem tanpa tunai yang lebih baik yang mana merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial peniaga kecil di negeri ini,” ujar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika majlis pelancaran inisiatif tersebut.

“Sebagai usaha dalam memperkasa ekonomi digital di Negeri Johor, Kerajaan Negeri sentiasa meneroka ruang kerjasama untuk memperkenalkan inisiatif baharu yang mampu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan dan berdaya saing bagi terus memacu ekonomi negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, “Selain membantu meringankan beban kos pengeluaran mereka, kerjasama ini turut membolehkan usahawan mikro memanfaatkan produk dan kemudahan teknologi digital yang disediakan oleh Bank Rakyat bagi tujuan mempromosi produk tempatan sekali gus meningkatkan hasil jualan dan pendapatan mereka.

“Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan saya agar setiap peniaga dapat mengambil peluang keemasan ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi,” tambah Mohd Hairi.

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan pula berkata, usaha pendigitalan ini bertujuan bagi memacu aspirasi Kerajaan dalam memperkasakan segmen perniagaan informal termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, di samping membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.

“Peniaga yang terlibat kini boleh memanfaatkan produk dan kemudahan perbankan digital Bank Rakyat termasuk aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi dengan QR DuitNow bagi membolehkan penerimaan bayaran transaksi tanpa tunai melalui kod QR; Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i); kemudahan pos terminal dan banyak lagi.

Kerjasama strategik ini turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat bagi menyantuni golongan unserved and underserved’ dengan matlamat untuk menjana ekonomi lestari, sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani, Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 Bank Negara Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” ujar Mohamad Shiblie.

Inisiatif ini yang bakal diperluas di negeri lain dilihat sebagai satu langkah intensif bagi membimbing dan membantu usahawan untuk terus berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluang perniagaan era digital. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button