Nasional

Mohamed Khaled ketuai delagasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan di Singapura

MENTERI PERTAHANAN, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah mengetuai delegasi Malaysia bagi menyertai Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke 12 yang diadakan di Hotel Conrad Singapore Orchard, Singapura pada 31 Mei 2024.

FDMM merupakan mesyuarat peringkat tertinggi FPDA yang dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Singapura. FDMM kali ini dipengerusikan oleh Dr. Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Singapura dan turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom, Paul Wyatt.

Mesyuarat kali ini membincangkan mengenai perkembangan terkini aktiviti-aktiviti di bawah FPDA termasuk eksesais Bersama Lima pada Oktober 2023 dan Bersama Shield yang telah dilaksanakan pada April 2024. Mesyuarat turut membincangkan hala tuju bagi meningkatkan nilai profesional eksesais FPDA.

Ini merupakan mesyuarat FPDA yang pertama kali bagi Khaled sejak beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan pada Disember 2023. FPDA telah wujud sejak tahun 1971 merupakan sebuah peraturan pertahanan yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bagi membangunkan keupayaan pertahanan melalui aktiviti-aktiviti seperti seminar, lawatan, kursus dan latihan ketenteraan.

FDMM kali ini turut melancarkan laman sesawang rasmi FPDA yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada umum berkaitan sejarah penubuhan FPDA, prinsip 3R FPDA (Remit, Relevance dan Reassurance) serta aktiviti eksesais yang dilaksanakan bagi memastikan peraturan pertahanan ini menjaga sensitiviti di rantau ini.

Selepas Mesyuarat FDMM, Menteri-menteri Pertahanan negara anggota FPDA turut membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong di Istana Singapura sebelum FDMM berakhir dengan rasminya.

Kehadiran Menteri Pertahanan ke Mesyuarat ke 12 FDMM adalah penting bagi memastikan hubungan kerjasama pertahanan pelbagai hala antara Malaysia dengan negara- negara anggota FPDA dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan selaras dengan Tonggak Strategi Perkongsian Berwibawa yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan yang memberi penekanan kepada hubungan pertahanan antarabangsa bagi memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button