Lapan lagi maahad tahfiz laksana TVET – Zahid
KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengambil lapan lagi maahad tahfiz di negara ini sebagai “anak angkat” untuk pelaksanaan Program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini terdapat 1,199 maahad tahfiz dengan 250,000 pelajar di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, apa yang membanggakan tiga huffaz dari maahad tahfiz berjaya menjadi jurutera bahagian penyelengaraan kapal terbang.
“Seorang bekerja di Malaysia manakala dua lagi bekerja di luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis di Pusat Kegiatan KEMAS Simpang Empat.
Hadir sama Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.
Pada majlis tersebut, kira-kira 150 anak-anak yatim dari seluruh Perlis menerima duit raya dan juga 60 peserta kemahiran KEMAS menerima Kit Peralatan Quick Win KEMAS.
Ahmad Zahid berkata, sehingga kini sebanyak 280 program TVET dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah KKDW.
Katanya, kemahiran dalam bidang TVET kini menjanjikan kebolehpasaran pekerjaan melebihi 90 peratus.
“Jangan remehkan pekerja kolar biru kerana peluang mereka kerja lebih banyak dari bidang pekerjaan kolar putih,” katanya.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan RM6.7 billion untuk TVET bagi memastikan keberhasilannya memenuhi pasaran kerja. – SM
BACA Kerajaan memeterai kerjasama TVET dengan 18 syarikat tempatan dan global
BACA UniMAP terus lebarkan program KTP TVET UNiTY@PERLIS untuk masyarakat
BACA 60 syarikat gergasi dan multinasional diminta biayai TVET-PM Anwar Ibrahim