Nasional

Lantik Zahid sebagai TPM bantu stabilkan kerajaan perpaduan

MENAMAKAN Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri akan membantu menstabilkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim, menurut seorang pemerhati politik.

Azizi Safar berkata, ia bukan sahaja dapat menstabilkan kerajaan pimpinan PH-BN tetapi juga boleh memuaskan hati Pimpinan Tertinggi UMNO.

“Jika Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri, tidak akan ada lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan Majlis Kerja Tertinggi Umno kerana presiden sudah di kedudukan nombor dua dalam kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, Zahid pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa pemerintahan Najib Razak selepas Muhyiddin Yassin dipecat kerana lantang bersuara mengenai 1MDB.

Beliau kemudian menubuhkan parti Bersatu bersama-sama bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zahid yang berdepan dengan 47 pertuduhan berhubung penyelewengan wang Yayasan Akalbudi miliknya perlu dilantik sebagai timbalan perdana menteri atas dasar hierarki parti dan kerjasama politik.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mendesak PH agar melantik ahli kabinet mengikut hierarki jawatan dalam parti.

Manakala, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata PH perlu membalas budi Zahid kerana bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan.

“Anwar tidak wajar melantik orang lain seperti Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang turut disebut-sebut bakal menggalas tanggungjawab tersebut.

“Timbalan presiden Umno tiada pengalaman dalam Kabinet persekutuan, maka tidak wajar dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri,” Azizi berkata.

Beliau menambah bahawa Zahid lebih layak memegang jawatan tersebut kerana mempunyai pengalaman berbanding yang lain.

Azizi berkata, sebelum ini telah berlaku ketidakstabilan dalam pentadbiran disebabkan oleh perlantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Perlantikan itu telah melangkaui hierarki UMNO menyebabkan berlakunya perpecahan dalaman antara “kluster mahkamah” dan juga “kluster Putrajaya”.

Namun beliau berharap Zahid akan bersifat terbuka jika tidak dilantik sebagai TPM.

“Rakyat tidak peduli menteri daripada parti mana, yang penting dia mesti berkebolehan. Tangan Anwar Ibrahim tidak harus diikat oleh tindakan parti yang mahu pemimpin mereka disertakan dalam Kabinet.

“Selagi parti dalam kerajaan menuntut macam-macam, selagi itu kita akan ada dalam lingkungan yang sama, padahal kita mahukan kabinet berkelas dunia,” katanya. -SM

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button