JenayahNasional

KP SPRM terus didesak beri penjelasan adik guna akaun dagangannya

DUA Ahli Parlimen, Khoo Poay Tion dari Melaka dan Chan Foong Hin dari Kota Kinabalu mahu Ketua Pengarah (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menjelaskan mengapa adiknya tidak membeli saham akaun sendiri sebaliknya menggunakan akaun dagangan milik beliau.

Walaupun semalam Azam telah memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut namun menurut kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan mengatakan orang ramai tidak mempercayai penjelasan yang telah dibuat oleh Azam.

“Perkara ini perlu dijawab oleh beliau mengapa adiknya, Nasir perlu menggunakan akaun dagangan Azam,” kata mereka menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain Poay Tiong dan Foong Hin, kalangan Ahli Parlimen lain turut mempersoalkan keperluan adik Azam membeli jutaan saham syarikat tersenarai dengan menggunakan akaun dagangan milik pegawai tertinggi SPRM itu.

Untuk makluman, pada sidang media semalam, Azam memberitahu beliau membenarkan adiknya, Nasir membeli saham menggunakan akaunnya pada tahun 2015 dan pihak atasan, dakwa beliau, dimaklumkan mengenai perkara itu.

Terdahulu, beberapa orang peguam dan Ahli Parlimen turut mendesak Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyiasat sama ada Azam melanggar undang-undang pemilikan saham apabila membenarkan adiknya menggunakan akaun perdagangan saham miliknya.

Gesaan itu dibuat oleh peguam Rafique Rashid Ali dan M Manoharan serta Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Rafique merujuk kepada Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang menyatakan urus niaga akaun sekuriti mestilah atas nama pemilik yang menerima manfaat.

Selain SC, Khoo dan Chan turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-agensi bawah Jabatan Perdana Menteri menyiasat Azam.

Dua Ahli Parlimen yang juga ahli jawatankuasa itu berkata, dakwaan Azam bahawa beliau hanya perlu menjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM tersasar.

“Azam diingatkan bahawa SPRM diwujudkan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM), statut yang diluluskan oleh Parlimen,” kata mereka.

“Beliau mungkin boleh mendakwa bahawa dirinya tidak perlu menjawab kepada pihak lain tetapi kami Ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang, mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang sewajarnya.

“Kami boleh meminda akta berkenaan untuk memperketatkan apa-apa peruntukan demi kepentingan rakyat,” kata mereka.

Dua Ahli Parlimen itu turut menggesa Azam menjelaskan sumber wang yang digunakan untuk membeli saham berkenaan selain mempersoalkan sama ada beliau memenuhi kriteria pengisytiharan aset berdasarkan pekeliling kerajaan yang mewajibkan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.

Isu itu tercetus pada 14 Dis lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.- FMT

 

(Visited 468 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button