Nasional

Penduduk Taman Sri Muda harap bantuan dipercepatkan

RATA-rata penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam, masih belum dapat bantuan banjir yang dijanjikan oleh kerajaan sama ada bantuan daripada Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri biarpun sudah mengisi dan menghantar borang yang diperlukan.

Sehingga kini, mereka masih belum menerima sebarang maklumat mengenai status permohonan bantuan tersebut yang sudah sepatutnya diterima untuk meringankan beban mereka bagi membeli peralatan rumah dan membaiki barang-barang yang rosak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob telah menggesa semua pihak terlibat memastikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain kepada mangsa banjir dipercepatkan.

Seorang penduduk di Taman Sri Muda, Agus bin Abd Rahim, 62, mengatakan dia belum menerima apa-apa bantuan daripada pihak kerajaan walaupun borang sudah dihantar.

Agus bin Abd Rahim

“Setakat ini, bantuan yang diuar-uarkan itu belum lagi diterima, tetapi semua borang sudah dihantar ke pejabat tanah.


“Bantuan daripada kerajaan negeri juga belum diterima dan kebanyakan penduduk di pangsapuri kos rendah ini belum juga terima bantuan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Taman Sri Muda, Fatimah binti Muhamad, 48, berkata dia hanya menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti makanan kering, sabun, dan ubat-ubatan.

Fatimah binti Muhamad

“Saya belum dapat lagi bantuan-bantuan daripada kerajaan untuk mangsa banjir tetapi pihak NGO ada memberi bantuan seperti makanan, sabun, nasi, beras, biskut dan ubat-ubatan,” katanya.

Norizan Md Jani, 48, pula berkata, disebabkan dia belum menerima bantuan kerajaan, dia memperoleh bantuan kewangan hasil daripada sumbangan orang luar, rakan-rakan dan keluarga serta hanya kereta sahaja yang dapat diselamatkan.

Norizan Md Jani

“Saya banyak terima sumbangan kewangan daripada orang luar, rakan-rakan dan saudara-mara serta pihak NGO kerana saya terjejas di dua tempat iaitu kedai dan juga rumah yang mengalami kerosakan 90 peratus dan saya hanya dapat selamatkan kereta sahaja.

“Saya mengharapkan agar saya dapat bantuan itu walaupun sedikit tetapi ia boleh membantu untuk membeli barangan di kedai dan rumah dan agak membebankan jika bantuan itu tidak ada,” katanya.

Tambahan lagi, dia sudah menghantarkan borang permohonan sejak seminggu lalu namun bantuan itu belum juga sampai kepadanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Taman Sri Muda, Shamla A/P Suppaya, 60, berharap agar bantuan dari segi kewangan dapat dipercepatkan untuk meringankan bebannya bagi membeli barangan keperluan.

Shamla A/P Suppaya

“Saya harap bantuan dapat dipercepatkan kerana semua orang sedang menunggu bantuan kewangan sekarang kerana banyak barang yang perlu dibeli.

“Kami akan gembira jika bantuan itu diberikan dengan segera supaya barang yang telah rosak dapat dibeli dengan segera,” katanya.

Kebanyakan penduduk di Taman Sri Muda ini mengharapkan agar kerajaan dapat mempercepatkan proses pemberian bantuan agar dapat meringankan beban mereka dan mereka boleh menggunakannya untuk membeli barangan yang rosak. – SM

 

(Visited 193 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button