Kita Tak Boleh Harapkan Keajaiban Dalam Sebuah Cita-Cita & Harapan – Mohamad Hasan
Kemenangan manis di Melaka dan Johor bukanlah kemegahan, bukan untuk ahli UMNO lupa akan daratan dan mendabik dada bangga.
Walaupun ia adalah tanda jelas dan terang bahawa UMNO telah mula pulih dan bangkit, tetapi perjalanan parti itu, masih lagi sangat jauh dan berliku.
Itu antara pesan tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang cuba dinafikan cybertrooper yang sikit-sikit menyalahkan PH atau PN.
“Pada saya kemenangan di Melaka dan Johor adalah peluang kedua kepada UMNO yang diberikan oleh orang Melayu kepada kita.
“Jadi janganlah kita sia-siakan kepercayaan ini dan kita mesti kembali bukan sahaja menguasai Melaka dan Johor tetapi seluruh Malaysia,” katanya.
Mohamad Hasan berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
UMNO bukan sahaja harus membela bangsa, memajukannya atau bekerja keras malah ahli UMNO tidak boleh mengharapkan keajaiban dalam sebuah cita-cita dan harapan.
“Menjadi parti terkuat, memenangi pilihanraya, membentuk Kerajaan yang stabil dan memimpin Malaysia dengan berprestasi, adalah aspirasi baharu kita untuk bangsa.
Yang mesti diikhtiarkan dengan semangat, dengan keringat, dengan kudrat, dan dengan muafakat. Ingatlah, ikrar tanpa ikhtiar, itu bohong. Ikhtiar tanpa sabar, itu kosong,” tegas Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan juga menggalakkan sesama ahli untuk berbincang dan berbahaslah dalam suasana keluarga besar UMNO.
“Bincangkanlah bagaimana untuk terus perkasakan parti dan dalam masa sama, susun strategi yang padu untuk menghadapi dan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Insha’Allah,” ujarnya.