Nasional

Kita amat bimbang, moga Allah lindungi kita – Noor Hisham

SEJUMLAH 71 kes kematian dicatatkan akibat jangkitan virus maut Covid-19 dalam tempoh 9 hari untuk tahun ini.

Jumlah itu hampir mengatasi bilangan kematian sebanyak 100 kes yang berlaku dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.

Perkembangan tersebut amat membimbangkang Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan dan semoga Allah SWT lindungi kita semua,” doa Dr. Noor Hisham.

Ketika ini jumlah keseluruhan kematian 501 di Malaysia yang diakibatkan pandemik Covid-19 yang mula menyerang dunia hujung tahun lalu.

Dr. Noor Hisham berharap masyarakat dapat memahami dan mengambil iktibar cabaran yang bakal dihadapi oleh petugas barisan hadapan berikutan bilangan kematian yang semakin meningkat.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk menguruskan mayat pesakit kerana petugas yang bertanggungjawab perlu menyarung pakaian perlindungan diri (PPE) untuk mengelak daripada dijangkiti.

“Bukan mudah untuk petugas menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Mereka terpaksa memakai PPE lengkap dengan bermandi peluh dalam keadaan panas terik sehingga liang lahat dan selesai menguruskan pengebumian kes Covid-19.

“Semoga kita semua memahami cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh setiap petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau amat berharap segenap lapisan masyarakat untuk berperanan membantu antara satu sama lain dalam mengekang jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas.

“Marilah bantu Negara dengan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. Semoga kita semua terlindung daripada musibah Covid-19,” doa Dr. Noor Hisham.

Semalam sebanyak lima lagi kematian dilaporkan. Jumlah kes kematian tertinggi dicatatkan dua hari lalu iaitu sebanyak 16 kematian.

Jumlah terkini kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 26,185 kes yang dicatatkan semalam dengan 177 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.-SM

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button