Mahkamah

Khairuddin pencetus skandal 1MDB

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ialah pencetus kepada pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, 54, yang mewakili Khairuddin selaku plaintif berkata, tanpa usaha dan keberanian plaintif untuk melaporkan isu skandal 1MDB di Malaysia pada 12 Disember 2014, ia tidak akan memudahkan usaha pihak berkuasa kepada penyelesaian skandal 1MDB itu.

“Pendedahan itu menjurus kepada tindakan jenayah terhadap pihak-pihak terbabit yang masih wujud di mahkamah sama ada selepas sabitan dan hukuman mahu pun yang masih menanti rayuan atau penyelesaian perbicaraan,” katanya ketika membacakan penyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan tujuh individu lagi, berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam itu berkata, plaintif membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2014, disusuli kewujudan jawatankuasa tindakan khas membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Khalid pada 15 Januari 2015, namun tiada tindakan efektif berlaku secara tepat pada masa itu.

“Pada 27 Julai 2015, negara melihat pemecatan Abdul Gani dan pengkhianatan oleh salah seorang dalam ‘special task force’ yang mengakibatkan usaha pendedahan 1MDB terbantut pada ketika itu.

“Plaintif kemudian terus ke negara Eropah untuk melaporkan isu 1MDB dalam bidang kuasa yang mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat 1MDB. Antaranya England, Perancis dan Switzerland.

“Akibat daripada usaha ini, negara kita dapat melihat bagaimana tindakan-tindakan susulan diambil oleh pihak penguat kuasa di negara lain seperti Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, England, Switzerland, Luxemborg, Singapura sehingga pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan, sementara beberapa yang lain masih menghadapi keadilan,” katanya.

Mohamed Haniff mendakwa sekembalinya Khairuddin dari luar negara, seluruh jentera kerajaan di bawah Perdana Menteri pada ketika itu, (Datuk Seri Najib Razak) dikerah dan dipergunakan untuk menahan dan menangkap plaintif.

“Dengan penangkapan itu menyebabkan plaintif kehilangan kebebasan mulai 18 September 2015 dan tindakan yang perlu diambil di mahkamah diambil oleh plaintif sehingga beliau memperoleh pelepasan daripada tahanan SOSMA pada 18 November 2015 dan pembebasan serta pelepasan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 124 (1) Kanun Keseksaan pada 12 Mei 2017,” katanya.

Mohamed Haniff berkata, plaintif berhak kepada satu taksiran ganti rugi yang melambangkan kesalahan tahanan dan pendakwaan yang didakwa melanggar undang-undang dan Perlembagaan.

Sementara itu, semasa membacakan penyataan saksi, Mohamed Haniff yang juga saksi kedua plaintif berkata, Khairuddin masih belum membayar wang guaman tertunggak kepada firma guamannya, Haniff Khatri berjumlah RM795,000 berhubung perkhidmatan yang dijalankan firma itu yang mengendalikan kes dihadapi Khairuddin pada 2015 di bawah SOSMA.

“Sejak mengendalikan semua fail plaintif pada 18 September 2015 hingga tarikh penyerahan bil itu (bayaran guaman) pada 23 Jun 2017, plaintif belum membayar mana-mana bahagian daripada bil itu sehingga kini dan beliau juga sedar bahawa jumlah bayaran yang telah dipersetujui adalah bayaran guaman terhutang yang perlu dijelaskan kepada firma saya,” katanya yang turut memaklumkan plaintif akan menjelaskan bayaran itu dari semasa ke semasa apabila memperoleh pendapatan.

Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman itu terhadap Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintenden C Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Superintenden Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Kerajaan Malaysia.

Khairuddin mendakwa beliau ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan pada 23 September tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj, pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya, mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik terjejas.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon bersambung esok dan Khairuddin dijangka memberi keterangan. – BERNAMA

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button