Keuntungan bersih Pharmaniaga naik 19.9% pada suku pertama 2022
PHARMANIAGA Bhd, syarikat farmaseutikal tersenarai terbesar negara, mencatatkan keuntungan bersihnya meningkat 19.9% kepada RM27.73 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM23.14 juta setahun lalu, hasil sumbangan logistik dan bahagian pengedaran apabila produk baharu telah ditambah ke dalam senarai pembelian produk yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).
Hasil bagi suku tersebut juga meningkat 21.3% kepada RM962.17 juta daripada RM793.5 juta setahun lalu disebabkan peningkatan prestasi di seluruh konsesi kumpulan dan perniagaan Indonesia hasil permintaan kukuh daripada pelanggan berikutan aktiviti perniagaan disambung semula selepas kes Covid- 19 semakin berkurangan.
Pharmaniaga dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perniagaannya di Indonesia berjaya melakukan pemulihan pantas pada suku pertama 2022, membuktikan keberkesanan penyusunan semula perniagaan untuk meningkatkan kecekapan operasinya melalui latihan pengoptimuman stok yang berterusan dan kutipan pembayaran yang agresif.
“Melangkah ke hadapan, kumpulan itu mengukuhkan operasi perniagaannya di Indonesia kerana ia mempunyai potensi besar yang belum diterokai. Kumpulan itu akan merombak model perniagaan semasa cabang logistik dan pengedarannya PT Millennium Pharmacon International Tbk dan meningkatkan portfolio produk cabang pembuatannya PT Errita Pharma.
“Menerusi rancangan perniagaan dan pemasaran strategik, kumpulan itu memberi tumpuan untuk menggandakan hasil bagi bahagian Indonesia,” tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kumpulan itu sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian lanjutan kontrak logistik dan pengedaran dengan KKM, yang dijadualkan siap pada suku ketiga 2022.
Beliau menambah lagi bahawa kumpulan itu bekerjasama dengan Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia untuk membekal dan mengedar ubat Hepatitis C, Ravidasvir, vaksin Sinovac Covid-19 serta vaksin lain kepada hospital dan pusat penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian.
“Kami akan membantu dalam pembangunan platform dan sistem untuk program vaksinasi. Kerjasama ini dijangka menyediakan satu lagi aliran pendapatan berulang kepada Pharmaniaga dan menyumbang kepada keuntungan kumpulan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, pembinaan kemudahan vaksin dan insulin halal pertama di dunia oleh Pharmaniaga berada di landasan untuk dikomersialkan menjelang 2025.
“Menyedari sentimen pasaran global yang terjejas akibat konflik Rusia-Ukraine yang berterusan serta tekanan inflasi yang meningkat dan gangguan rantaian bekalan, kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap pertumbuhan perniagaannya pada masa hadapan,” kata Pharmaniaga. – SM
Baca artikel berkenaan:
Pharmaniaga beri kerjasama R&D vaksin
Pharmaniaga Berhad komited hasil dan bekal vaksin halal tangani isu sekuriti kesihatan