Berita

HTF dipilih sebagai pusat peperiksaan klinikal

HOSPITAL Tuanku Fauziah (HTF) Kangar berjaya dipilih sebagai pusat peperiksaan klinikal yang terakhir untuk menjadi pakar perubatan dalaman pertama di negara ini di luar Kuala Lumpur.

Pengesahan tersebut dibuat oleh tokoh-tokoh dari Royal College of Physicians Ireland iaitu Ketua Peperiksaan Klinikal Antarabangsanya Profesor Geoff Chadwick dan Pengurus Peperiksaan Antarabangsa, Sinead Freeman yang telah melawat Perlis bagi melaksanakan proses akreditasi baru-baru ini.

Ketika di negeri ini, Chadwick dan Freeman mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Bilik Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.

Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim, Ketua Jabatan Perubatan Dalaman HTF Dr Shafarul Halimi dan Penasihat dan Wakil Malaysia untuk Royal College of Physicians Ireland, Datuk Seri Professor Dr Paras Doshi yang juga merupakan Pakar Perunding Perubatan Dalaman di Hospital Tuanku Fauziah.

‘Royal College of Physicians Ireland (RCPI) adalah terkenal di peringkat antarabangsa dalam proses latihan pasca siswazah untuk Pegawai Perubatan dalam bidang Perubatan Dalaman. Kelayakan antarabangsa yang berprestij ini diiktiraf di Malaysia sebagai salah satu peperiksaan dalam Program Parallel Pathway’. Demikian dimaklumkan oleh Paras yang telah dianugerahkan Fellowship dengan kelayakan FRCPI dari RCPI lalu dilantik sebagai Pemeriksa Antarabangsanya pada tahun 2015. Beliau juga merupakan Pengerusi Kebangsaan untuk Program Parallel Pathway Perubatan Dalaman Malaysia.

Menurut beliau, ‘Pengiktirafan Kangar sebagai pusat pemeriksaan untuk peperiksaan klinikal terakhir merupakan kejayaan yang besar untuk negeri Perlis secara khususnya dan Malaysia amnya. Kehadiran bakal barisan pemeriksa dan calon-calon dari seluruh negara serta antarabangsa mempamerkan kebolehan Hospital Tuanku Fauziah untuk menjadi pusat dalam Latihan Pasca Siswazah untuk pakar Perubatan kini terbukti’.

Tambah Datuk Seri Dr Paras, ‘Inisiatif ini merupakan hasil visi Tuanku Raja Muda Perlis sendiri untuk mengharumkan nama negeri ini dalam bidang perubatan dan pengajaran. Tuanku Syed Faizuddin Putra juga merupakan sumber inspirasi dalam penubuhan servis Advanced Acute Internal Medicine (AAIM) di Perlis yang telah menjimatkan jutaan ringgit untuk kerajaan serta mewujudkan beberapa perkhidmatan baru yang amat diperlukan oleh rakyat di negeri ini’.

Ketika di Perlis delegasi dari Dublin tersebut turut melawat Bangunan Hemodialisis MAIPs di HTF bersama-sama dengan Pengarah HTF Dr Mohamad Shafiee Ismail yang kini dalam persiapan untuk menjalankan peperiksaan yang bakal dianjurkan pada hujung tahun ini. Mereka juga meluangkan masa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP yang serba canggih tersebut.

(Visited 480 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button