Nasional

Ketua Penerangan BN Selangor dipanggil polis Bukit Aman

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil hari ini dipanggil sekali lagi oleh polis Bukit Aman bagi memberi kenyataan berhubung siaran satu artikel di dalam sebuah portal tempatan.

Menurut Isham kepada wartawan SUARA MERDEKA, beliau telah dimaklumkan dengan jelas bahawa tujuan dipanggil sekali lagi ke Bukit Aman adalah berkaitan dengan satu artikel oleh sebuah porta iaitu Agenda Daily yang menyiarkan berita bertajuk “Penyokong fanatik Najib ugut kudeta jika Parlimen tidak dibuka”.

Isham yang tidak begitu pasti siapakah wartawan Agenda Daily yang menyiarkan artikel berkenaan namun memaklumkan lain yang dicakap oleh beliau, lain pula yang disiarkan.

“Lain yang saya cakap, lain yang mereka tulis dan spin dan saya pula yang kena panggil untuk beri keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isham mendakwa, artikel dan tajuk oleh portal (Agenda Daily) berkenaan adalah berunsur fitnah terhadap dirinya dan ianya dianggap berniat jahat dan artikel tersebut boleh disabit sebagai penyebaran berita palsu.

“Artikel tersebut memetik satu video live saya di Facebook pada minggu lepas dan dalam artikel tersebut portal tersebut telah spin tajuk dan telah edit video dan transkrip ucapan saya sehingga memberi gambaran yang salah dan mengelirukan orang ramai.

“Beberapa bahagian ucapan saya telah dipotong dan disunting dan transkrip ucapan saya juga disunting dengan ada bahagian dimasukkan dan ada bahagian penting konteks tidak dimasukkan; dan ada perkataan dalam sesuatu ayat dipadam. Ini jelas menggambarkan niat portal tersebut,” jelas Isham.

Tambah Isham lagi, setelah beliau memberi portal tersebut notis dan peluang untuk membetulkan kesalahan mereka dalam tempoh 7 hari.

“Mereka telah menukar tajuk artikel tersebut dan meminta maaf secara umum ke atas kekeliruan yang mereka telah sebabkan (walaupun mereka tidakpun mohon maaf kepada saya dan masih banyak kesalahan dan ‘spin’ dengan tujuan mengelirukan dalam artikel tersebut yang mereka tidak betulkan).

“Mereka (Agenda Daily) sebenarnya boleh diambil tindakan undang-undang melalui undang-undang sivil (tort) atas kesalahan ‘defamation’ dan juga undang-undang jenayah di bawah Seksyen 233 Akta SKMM dan Ordinan Darurat 2021 atas kesalahan berita palsu dan juga Seksyen 499 dan 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan,” kata Isham.

Namun demikian, “saya tidak pasti mengapa pihak polis memanggil saya pula untuk beri keterangan walaupun tiada laporan polis dibuat terhadap saya.

“Dan saya pun belum membuat laporan polis terhadap Agenda Daily memandangkan notis 7 hari sebelum ini belum lagi tamat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Isham berkata, pada hematnya, pihak yang mengeluarkan berita palsu dan memfitnah yang sepatutnya perlu dipanggil dan disiasat, bukannya pihak yang menjadi sasaran fitnah dan berita palsu tersebut.

Kata Isham, mungkin pihak polis mahu panggil beliau dahulu sebelum mereka panggil Agenda Daily, wallahu’alam.

“Jika portal ini pula yang terlepas dan tidak dipanggil selepas ini, ia amatlah pelik bin ajaib dan menimbulkan banyak tandatanya.)

Untuk rekod, kata Isham, kali terakhir beliau dipanggil oleh pihak polis untuk beri keterangan, telefonnya telah dirampas selama hampir dua tahun dan kali ini beliau berharap perkara yang sama tidak berulang.

“Saya akan beri kerjasama kepada pihak polis seperti biasa. Dan saya yakin pihak polis akan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah dan mengikut lunas undang-undang,” kata Isham. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button