Nasional

PPV WTCKL tingkatkan suntikan vaksin dari 2,600 ke 9,300 dos sehari

KIRA-kira 345,000 telah mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PPV tersebut berjaya meningkatkan pemberian vaksin dari 2,600 dos sehari ke 9,300 dos sehari dalam tempoh enam minggu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah PPV WTCKL Dr. Rose Nani Mudin kepada Tengku Zafrul ketika melawat pusat tersebut pagi ini.

“Ini adalah hasil titik peluh dan kerjasama antara ramai pihak termasuklah sukarelawan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, serta rakyat yang telah mendaftar untuk vaksinasi.

“Inilah contoh kejayaan yang kita harapkan bagi mencapai imuniti kelompok demi kesejahteraan semua,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, sukarelawan yang bertugas di PPV sangat bersemangat dan bersedia untuk menabur bakti berikutan keputusan kerajaan untuk meningkatkan operasi PPV selama tujuh hari seminggu dengan tempoh masa yang dilanjutkan.

Sukarelawan turut mahu sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.

“Sempat juga saya bertegur sapa dengan rakyat yang hadir untuk temu janji vaksinasi mereka. Terima kasih kepada anda kerana membantu Kerajaan dalam merealisasikan objektif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Terima kasih juga kepada Pengarah Eksekutif WTCKL Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan pasukan beliau selaku penyelaras program. Insya-Allah, #TeamMOF akan terus memberikan sokongan yang diperlukan demi kebaikan kita semua,” kata Tengku Zafrul.

Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin telah mengumumkan saguhati para sukarelawan akan dinaikkan dari RM50 sehari ke RM100 sehari bagi mereka yang bertugas lebih 12 jam.

Tambahan saguhati tersebut akan melibatkan tambahan peruntukan berjumlah RM180 juta daripada peruntukan asal RM147 juta menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM327 juta.-SM

 

 

(Visited 440 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button