JenayahUncategorized

Hishammuddin minta polis siasat dalang penyebaran surat palsu

BENDAHARI Agong Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan membuat laporan polis berhubung penyebaran surat kononnya beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk melantiknya menjadi perdana menteri.

Menurut Menteri Luar tersebut, surat berkenaan adalah palsu dan tidak benar. Laporan polis dibuat agar pihak berkuasa dapat menyiasat dalang disebalik penyebaran surat berkenaan.

“Seperti dinyatakan oleh Unit Komunikasi saya semalam, surat ini adalah palsu dan tidak benar.

“Satu laporan polis akan dibuat hari ini supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenalpasti dalang di sebalik tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Surat berkenaan tersebar di media sosial mendakwa Hishammuddin mengutus surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan diri sebagai sebagai Perdana Menteri.


Kandungan surat itu mendakwa, kononnya Hishammuddin telah memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekembalinya dari lawatan kerja ke Dubai dan menawarkan diri untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat berkenaan antara lain turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri 2.

Menerusi satu ciapan di Twitter semalam, unit komunikasi Hishammuddin menjelaskan surat tersebut berunsur fitnah dan bertujuan mengelirukan pandangan umum.

“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan @Ds HishammuddinH2O adalah palsu dan tidak benar.

“Ini hanyalah provokasi politik yang berniat jahat, mengadakan fitnah untuk mengelirukan umum,” kata unit komunikasi Hishammuddin.-SM

 

 

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button