Politik

Ketua-ketua parti PN meterai konsensus kekalkan Muhyiddin petang ini

Pertemuan di antara ketua-ketua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Putra Perdana, di Putrajaya pada petang Rabu adalah bertujuan memeterai konsensus bagi mengekalkan sokongan terhadap Pengerusi PN itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usaha memeterai konsensus berkenaan disebabkan semua ketua parti PN berpandangan Muhyiddin masih lagi mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan kerajaan sedia ada masih dianggap sah.

Jelas beliau, meskipun UMNO mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan ahli-ahli Parlimen mereka menarik sokongan terhadap Muhyiddin, blok pembangkang termasuk UMNO masih gagal menunjukkan siapa antara mereka yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bagi diangkat menjadi Perdana Menteri baharu.

“Kalau Muhyiddin didakwa masih ada sokongan 100 ahli Parlimen dengan pembangkang termasuk UMNO pula kata mereka ada sokongan 120 ahli Parlimen untuk menolak Muhyiddin, mereka kena tunjukkan angka sokongan majoriti untuk lantik calon Perdana Menteri baharu.

“Adakah calon diketengahkan mereka cukup sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan stabil? Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada berapa? Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) ada berapa? Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah) dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ada berapa? Bahkan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri ada berapa?


“Saya nasihatkan kepada pihak mendesak Perdana Menteri letak jawatan supaya menggunakan kebijaksanaan politik masing-masing. Kalau gerakan politik dibuat sekadar hendak menjatuhkan Muhyiddin, tindakan itu tidak menguntungkan rakyat,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

Dakwaan itu tercetus susulan tekanan berterusan daripada UMNO yang sudah mengutuskan sekurang-kurangnya tiga warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan pendirian sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin ketika ini.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pada Selasa dilapor mengesahkan parti itu telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menolak kepimpinan Muhyiddin.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada PN.

Susulan itu, dua menteri UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad masing-masing sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan peletakan jawatan.

Sementara itu, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan berkata, kerajaan PN boleh sahaja menuruti gesaan blok pembangkang agar Muhyiddin mengusulkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yakin Seri Paduka Baginda akan membuat keputusan bijaksana untuk tidak mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada saat krisis Covid-19 berada pada tahap kemuncak.

“Selepas Parlimen bubar dan PRU15 berkemungkinan tidak dapat diadakan sebab pandemik Covid-19 masih serius, apa akan jadi kepada negara ini bila mana tiada seorang pun antara pemimpin pembangkang yang dapat sokongan majoriti jadi Perdana Menteri?

“Pada saat kerajaan PN mula mendapat sokongan daripada rakyat, Pak Wan berharap semua pihak berkenaan menghentikan usaha untuk menjatuhkan kerajaan pada saat genting ketika ini.

“Saya turut berharap semua ahli Parlimen boleh menyatakan pendirian secara bijaksana. Adakah mereka mahu kerajaan kleptokrasi kembali setelah ditumbangkan dengan kuasa rakyat?” katanya.

(Visited 307 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button