Nasional

70 ibu hamil maut disebabkan Covid-19

SEBANYAK 70 kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 sepanjang tahun ini sehingga 9 Ogos lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan tahun lalu.

Menurutnya, purata kes kematian ibu mengandung akibat COVID-19 bagi bulan Januari sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak 2 kes pada setiap bulan.

Peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun iaitu sebanyak 17 kes kematian.

“Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin COVID-19.


“Berdasarkan maklumat sedia ada sebanyak 47% dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid,” katanya.

Sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021 sejumlah 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia.

Katanya, dianggarkan hampir 1% ibu hamil di Malaysia dijangkiti COVID-19.

Jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes).

Tren peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia secara keseluruhan.

“Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari 3% pada 10 Julai 2021 kepada 5.3% pada 7 Ogos 2021.

“Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti COVID-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit COVID-19 kritikal ialah 1 dalam 20.

“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220,” katanya.

Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021.

Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57%) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 20% ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.

Memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button