Kesemua ahli Parlimen Warisan hadir sidang Dewan Rakyat hari ini
KESEMUA lapan orang ahli Parlimen Warisan akan berada di Dewan Rakyat hari ini yang akan menyaksikan bacaan kali ketiga dan terakhir bagi Belanjawan 2021.
Ketua Whip Warisan, Datuk Rozman Isli yang juga ahli Parlimen Labuan berkata kesemua ahli Parlimen Warisan kini berada di Kuala Lumpur termasuk Presiden Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang merupakan ahli Parlimen Semporna.
“Presiden kembali ke Kuala Lumpur dan menghadiri Parlimen. Dan kami diingatkan olehnya untuk berada di Parlimen, ” katanya.
Ahli Parlimen Warisan yang lain termasuk Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Ahmad Hassan (Papar), Datuk Mohammadin Ketapi (Lahad Datu), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) dan Datuk Darell Leiking (Penampang).
Warisan sebelum ini memboikot semua undi belah bahagi yang diusulkan Pakatan Harapan terhadap Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa kerana kecewa terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini berikutan Presiden PKR itu mengeluarkan arahan agar pembangkang tidak melakukan undi belah bahagi ketika belanjawan dibentangkan di peringkat dasar.
Sementara itu Azis yang merupakan Ketua Pemuda Warisan memaklumkan parti itu belum membuat keputusan sama ada akan melakukan undi belah bahagi ketika bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 hari ini.
Bercakap kepada Malaysiakini Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata mereka sedang menunggu arahan daripada Shafie.
“Kami belum putuskan. Belum tahu lagi. Presiden kami akan berikan arahan. Tetapi setakat yang kita tahu, kita akan lakukan undian belah bahagi untuk Warisan. Apa sahaja yang diputuskan oleh presiden kita, kita akan ikut,” kata Azis.
Pakatan Harapan semalam telah mengumumkan akan melakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 yang akan dibaca buat kali ketiga dan terakhir di Dewan Rakyat hari ini.
Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan menegaskan, mereka akan membuat undian belah bahagi.
Menurutnya, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga.
Sementara Ahli Parlimen Langkawi (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang (BN) Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang dalan undi belah bahagi hari ini.
Mereka mengumumkan untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir berkata, dia akan menjadi perdana menteri semula jika dipilih.-SM