Politik

Kerja-kerja politik ad-hoc Muhyiddin cuma selamatkan `tengkuk’ sendiri – Nur Jazlan

URA-URA Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu menyertai Muafakat Nasional (MN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai usaha untuk menyelamatkan `tengkuk’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, dakwa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, Muhyiddin ketika ini sedang menghadapi defisit sokongan di Dewan Rakyat khususnya untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Covid-19 minggu depan yang sekali gus mampu memanjangkan jangka hayat jawatan Perdana Menteri yang disandang sejak 1 Mac lalu.

Katanya, lebih teruk lagi `projek kerajaan pintu belakang’ yang digerakkan Muhyiddin melalui Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan sahaja gagal, malah membuka laluan pula kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah yang berkemungkinan besar akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) 26 September depan.

“Kerja-kerja politik ad-hoc oleh Bersatu diketuai Muhyiddin ini akhirnya menyulitkan UMNO. Beliau mahu mengelakkan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), bukan juga nak menang PRU tetapi mahu terus jadi Perdana Menteri.

“Perkara ini telah disampaikan kepada saya oleh seorang pemimpin Bersatu sendiri. Bersatu bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah pun sebab mereka perlukan UMNO untuk mengalahkan Shafie.

“Bagaimanapun kita dalam UMNO dapat hidu dan belajar dari gerakan politik separuh masak Bersatu ini. Gerakan untuk pecahbelahkan Pakatan Harapan sudah berlaku ke atas Bersatu, DAP dan kini MN pula dengan menggalakkan lompat katak dalam kalangan ahli parlimen. Namun saya yakin mereka kini akan dihukum oleh rakyat jua,” katanya kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Kata Nur Jazlan, seandainya benar Salahuddin bertanding atas tiket MN di Pulai nanti, beliau yakin Ahli Parlimen Pulai itu akan tewas.

“Dalam PRU-14 lalu Salahuddin bergantung kepada PH, DAP dan undi orang Cina, dia akan hilang sokongan dalam PRU nanti. Realitinya, kemelesetan ekonomi yang dijangka akan menyebabkan populariti Muhyiddin menurun dan beliau tidak boleh mengelakkan dari diadakan PRU-15,” katanya. -SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button