Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ada obligasi perundangan – Ahmad Zahid
Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kedudukan Sabah dan Sarawak bukan lagi berstatus negeri sebaliknya Wilayah dalam Malaysia.
“Sehubungan itu, Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63 perlu dilaksanakan segera.
“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian di hadapan 2,820 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Putra (WTC), Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Ahmad Zahid melihat ia sesuatu yang sangat penting berikutan Indonesia juga bakal memindahkan ibukotanya ke Kalimantan Timur.
Dengan pemindahan ibukota Indonesia ke Kalimantan Timur juga, kedudukan Wilayah Sabah dan Sarawak, akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.
“Limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun,” katanya.
“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Dalam ucapan dasar presiden itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO berpendirian Sabah dan Sarawak adalah rakan politik strategik.
“Dengan itu, apa-apa pun bentuk kerajaan Malaysia pada masa sekarang dan masa hadapan, UMNO tetap memilih untuk bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan Malaysia,” katanya. – SM