Belang Bertempat

Akhirnya harimau keluar dari mulut Zahid

UCAPAN dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung UMNO hari ini menyebab sesetengah orang seram sejuk dan rasa hendak terbuang air besar serta kecil.

Zahid yang selama ini menahan daripada menghambur apa yang ada di dalam perutnya, akhirnya beliau mendedahkan apa yang berlaku di dalam UMNO selepas berakhirnya pilihan raya umum lalu.

Jika selama ini Zahid sering berkata di dalam perutnya ada harimau, tetapi yang keluar hanyalah kambing, menggambarkan apa yang beliau simpan di dalam perut bagi mengelakkan kebobrokan UMNO diketahui umum.

Kali ini beliau nekad bercerita bagaimana ada pemimpin UMNO yang sebelum subuh telah perpacul di rumah pemimpin lawan bagi merundingkan kerajaan pintu belakang.

“Harimau” kah yang keluar dari mulut Zahid?

Selain itu terdapat juga gerakan St. Regis yang turut mengatur bagi menarik sokongan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini tersebar gambar Datuk Seri Mohamad Hassan bertemu dengan pemimpin Bersatu dan Pas.

Bagaimanapun Mohamad menjelaskan bahawa pertemuan itu berlaku sebelum pilihan raya berjalan dan ia adalah perkara biasa untuk para pemimpin mengada perbincangan kemungkinan kerjasama dibentuk.

Tidak habis dengan kisah itu kini tersebar pula cerita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat bakal dipinggirkan dari cai presiden kerana dianggap bermain kayu tiga dan tidak ikhlas dalam menyokong Zahid.

Ada juga cerita-cerita tentang Tok Mat kini telah menjalinkan kerjasama dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi bertanding jawatan presiden. Dikatakan Hisham pula akan bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding jawatan naib presiden.

Daripada sejarah setakat ini tidak pernah lagi mereka yang menentang presiden akan menang, apatah lagi apabila parti memutuskan dua jawatan teratas itu tidak dipertandingkan.

Namun belajar daripada sejarah, mungkin gerakan Tok Mat akan memastikan mereka menguasai kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian yang akan mengundi pada pemilihan pemimpin tertinggi parti.

Nampaknya di sinilah letaknya peranan mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan akan menguruskan ketua-ketua bahagian agar menyokong kem mereka yang diberikan nama sebagai pasukan penyelamat UMNO.

Sejauh mana kebenaran cerita itu hanya akan diketahui apabila mereka yang bertanding menampilkan diri dan setakat ini mereka masih bermain di bawah radar.

Cuma Khairy sahaja yang agak ke hadapan dan telah mengeluarkan kenyataan bahawa siapa juga dalam kelompoknya menang pada pemilihan kelak akan tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kenyataan itu jelas untuk memberi isyarat kepada kerajaan yang diterajui oleh Anwar supaya tidak masuk campur atau berasa terancam dengan usaha untuk membersihkan UMNO itu.

Lebih menarik juga terdapat cerita yang tersebar bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin turut terlibat di belakang gerakan itu.

Banyak betul cerita-cerita yang berlegar di sekitar perhimpunan agung UMNO. Kadang-kadang apabila difikirkan ada juga kebenarannya.

 

(Visited 1,639 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button