Berita

Kerajaan akan edar baucer buku untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut laporan BH, baucar berkenaan boleh dituntut melalui mekanisme yang akan diumumkan, mulai jam 2 petang ini

“Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100.

“Bagi tahun ini, kita mulakan dari Darjah Empat, untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.

“Ia turut diberikan kepada pelajar sekolah menengah, universiti, kolej, institusi perguruan dan sebagainya.

“Mulai jam 2 petang esok, pemberian baucar ini akan dimulakan, insya-Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Anwar sekali gus mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan format tuntutan baucar berkenaan supaya ia dapat dimanfaatkan pengunjung PBAKL 2024 yang bakal berakhir pada Ahad ini.

“Menteri Pendidikan Tinggi perlu menyediakan format penggunaan baucar berkenaan. Saya berharap ia dapat digunakan mulai esok pada PBAKL supaya pengunjung dapat memanfaatkannya untuk membeli buku di sini.

“Saya juga menganjurkan supaya (dibuat) senarai judul tertentu agar sebahagian peruntukan baucar itu digunakan untuk membeli buku yang diusulkan dan sebahagian lagi diberi kelonggaran bagi anak-anak memilih sendiri. Kenapa saya sebut begitu… kerana mengikut amalan lalu, buku dipilih (anak-anak) adalah buku picisan yang tidak bernilai.

“Saya selalu sebut mengenai memupuk minat belajar serta mencintai ilmu. Sebagaimana diungkapkan Sayidina Ali bin Abi Talib, ilmu itu lazat, memberi minat dan memperkayakan minda, seterusnya memberi kita kewarasan, kebijaksanaan serta hikmah,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, masyarakat perlu diberikan pemahaman mengenai makna ilmu yang sebenar supaya tidak terdedah dengan maklumat atau karya tidak bermanfaat.

“Bukan semua maklumat itu adalah ilmu. Ada juga maklumat yang hanya sekadar maklumat, selain ada juga yang masuk kategori ilmu. Ilmu seperti dikupas ulama serta sarjana, ada yang memberikan manfaat dan tidak memberi manfaat.

“Justeru, kita perlu melatih anak-anak membaca, mencintai ilmu serta menentukan yang mana adalah informasi dan ilmu, seterusnya mempunyai keupayaan untuk menyaring apa yang disebut ilmu makrifah atau kebijaksanaan,” katanya.

Menyentuh kebimbangan awam akan kurangnya minat membaca terutama dalam kalangan generasi muda kini pula, Anwar berkata, adalah penting untuk semua pihak termasuk kerajaan lebih berani membuat anjakan ke arah membudayakan amalan itu.

Dalam pada itu, beliau melihat sambutan positif kepada PBAKL kali ini yang mencecah lebih sejuta pengunjung dalam tempoh tujuh hari penganjurannya, sebagai petanda baik berkait minat masyarakat terhadap buku.

“Minat membaca menurun, diganti dengan media sosial yang kononnya memberi laporan dalam satu dua minit… ya, ini membimbangkan.

“Dalam negara MADANI, kita mesti mengangkat semula (budaya membaca) dan berani membuat sedikit anjakan. Saya berterima kasih kepada pihak penganjur (PBAKL) kerana tahun ini, bukan saja pengunjung ramai tetapi dalam masa empat hari pertama, pembelian buku bertambah ketimbang tahun sebelumnya.

“Jadi, yang sudah datang (ke PBAKL), beli buku, balik nanti kenalah baca.

“Saya juga berharap buku penulisan Sasterawan Negara kita tidak ditinggalkan. Ada (banyak) novel penulisan Sasterawan Negara terkemuka yang diterbitkan, antaranya karya Datuk Seri A Samad Said, Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Datuk Dr Anwar Ridhwan. Senarai (karya) Sasterawan Negara ini yang patut diusulkan (untuk dibaca),” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button