Kenapa BN, PBS tak hantar PTI balik Filipina?
“KALAU begitu mudah mahu hantar pulang pendatang tanpa izin (PTI) ke Filipina, kenapa tidak dilakukan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa 26 tahun dan Parti Bersatu Sabah (PBS) selama dua penggal sembilan tahun?”.
Itu persoalan dibangkitkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Md. Azis Jamman kepada jentera pilihan raya UMNO yang begitu agresif mempolitikkan isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dalam kempen pilihan raya kecil yang masuk hari kelapan.
“Malah, Sijil Burung-Burung (salah satu dari tiga dokumen yang diseragamkan melalui PSS) pada ketika zaman kerajaan PBS lah yang banyak dikeluarkan.
“Persoalannya, kenapa serang Parti Warisan sedangkan kita baru perintah negeri Sabah ini satu tahun tujuh bulan sembilan hari?,” kata Md. Azis kepada Suara Merdeka di Membakut hari ini.
Beliau yang Ketua Bahagian Warisan Sepanggar yakin UMNO tahu sukar untuk menghantar pulang PTI atau pelarian perang Filipina yang telah datang ke Sabah sejak tahun 70-an lagi.
“Saya ada rakaman video semasa mereka (kerajaan BN berkuasa di Sabah).
“Antaranya penyataan Datuk Seri Rahman Dahlan sendiri menyatakan kesukaran untuk kerajaan terdahulu hantar balik kerana kerajaan Filipina berdolak-dalik dalam isu terima pemegang tiga dokumen berkenaan ini sebagai warga Filipina.
“Realitinya dokumen ini (antaranya Kad Pendaftaran Orang Asing Khas atau singkatan IMM13 diberikan kepada pelarian perang ini sekitar tahun 70-an.
“Hasil dari itu (setelah turut diperkenalkan Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci) sehingga ke hari ini hampir 50 tahun. Hari ini kalau sudah generasi ketiga, keempat pemegang tiga dokumen ini. Maknanya, ada ramai mereka ini sudah lahir di Sabah, memegang sijii lahir bukan warganegara,” kata beliau.
Bahkan, lebih memberatkan lagi isu PTI tersebut apabila pegawai-pegawai kerajaan Filipina tidak turun ke Sabah untuk menyelesaikan lambakan warga mereka di sini.
“Mereka juga tidak buka konsulat mereka di Sabah dan lebih sukar lagi masih mengungkit kononnya Sabah masih sebahagian wilayah Filipina.
“Maka, saya cabar kerajaan Filipina lakukan segera apa yang saya sebutkan inihantar pegawai konsulat ke Sabah, ambil mereka, kedua buka knsukat mereka dan ketiga berhenti dari mengungkit sabah sebahagian wilayah mereka.
“Dan saya cukup yakin UMNO tahu kekangan hendak hantar mereka (PTI Filipina) ini balik maka sebab itu kerajaan terdahulu mereka mencadangkan pas residen Sabah,” kata Md. Azis.- SM