Luar Negara

Jokowi tutup mulut China, pelawa Jepun melabur di Natuna

INDONESIA membuka peluang kepada Jepun untuk meningkatkan pelaburannya di kepulauan Natuna yang terletak di Laut China Selatan.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan dengan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi di Jakarta semalam berkata Natuna adalah kawasan berpotensi tinggi.

Katanya, perikanan, sumber tenaga dan pelancongan merupakan sektor berpotensi tinggi perlu dikembangkan.

“Saya mahu mempelawa Jepun untuk melabur di Natuna,” katanya seperti dipetik portal Channel News Asia (CNA).

Jepun yang juga merupakan rakan dagang utama Indonesia sebelum ini pernah melabur 100 bilion rupiah (RM29.6 juta) Natuna.

Tawaran yang dikemukakan oleh Jokowi itu dipercayai sebagai langkah untuk menafikan tuntutan China terhadap perairan berhampiran kepulauan Natuna.

Negara tembok besar itu sebelum ini menuntut perairan Laut Cina Selatan termasuk laut berhampiran Indonesia sebagai haknya.

Menurut China, mereka berhak untuk menangkap ikan dalam kawasan Sembilan Garis Putus-Putus (Nine Dash Line).

Kawasan yang dinyatakan itu dilaporkan termasuk dalam perairan milik Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia.

Dalam pada itu, selain mengukuhkan hubungan dua hala, Motegi juga dilaporkan bersetuju untuk menguatkan kawalan keselamatan pantai di kepulauan Natuna.

Bagaimanapun menurut Motegi, isu tuntutan China bukan keutamaan tetapi mereka akan berhati-hati dalam situasi yang berlaku di Laut China Selatan.

JOKOWI melawat kepulauan dan perairan Natuna di Laut China Selatan pada Rabu lalu. – Gambar JPNN.COM

Indonesia sebelum ini meningkatkan kawalan terhadap ruang udara dan perairannya selepas beberapa kapal milik China dikesan memasuki kawasan Natuna.

Malah Jokowi sendiri mengambil tindakan tegas dengan melawat kepulauan dan perairan Natuna yang merupakan Zon Ekonomi Esklusif (EEC) negara itu pada Rabu lalu sebagai simbolik menentang tindakan pencerobohan China.

Bagaimanapun, China baru-baru ini menghubungi kerajaan Indonesia dan mahu menyelesaikan perselisihan itu secara melalui hubungan dipolmatik antara Jakarta dan Beijing. – Agensi

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button