Nasional

Kenaikan SST tidak beri impak ketara kepada inflasi

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan cukai perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuatkuasa pada 1 Mac lalu tidak memberi impak ketara kepada inflasi.
Perdana Menteri berkata, impak daripada kenaikan itu kepada  inflasi dianggarkan sekitar 0.2 mata peratusan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui peluasan skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan berkenaan kerajaan juga dijangka mengutip hasil berjumlah RM3 bilion.
Katanya, kenaikan kadar cukai perkhidmatan lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.
“Perbelanjaan makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan (cukai perkhidmatan) dan kekal enam peratus. Selain itu perbelanjaan utiliti seperti air 9juga kekal dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Ini harus jelas kerana banyak kekeliruan.
“Jadi kebimbangan kita ialah impak inflasi. Kita tidak nafikan bahawa ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia kesannya sekitar 0.2 peratus.
“Skop berkenaan cukai perkhidmatan adalah kecil iaitu hanya ke atas 41 peratus (daripada bilangan perkhidmatan yang terdapat dalam ekonomi) dan banyak pengecualian diberikan.
“Umpamanya pendidikan, kesihatan termasuk hospital kerajaan dan swasta, pengangkutan, penumpang darat, telekomunikasi prabayar, perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, sewaan rumah kediaman, bangunan komersial,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Shahar mahu tahu kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus. – SM
(Visited 15 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button