Politik

Kembalikan Semula Roh Perjuangan UMNO, Resapi Dengan Semangat Kebangkitan!

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias gembira kerana setelah beberapa tahun, Keluarga Besar UMNO akhirnya dapat berkumpul bersama-sama sekali lagi.

Setelah mendengar ucapan dasar yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini, terasa kemanisan dan kegembiraannya.

Hal ini kerana UMNO dan Barisan Nasional telah cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menerusi hasil kerja keras semua pihak dari pucuk pimpinan tertinggi sehinggalah ke akar umbi.

“Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN ini adalah satu titik tolak dan pencetus kepada kebangkitan UMNO pasca PRU-14.

“Akan tetapi, kita sebagai ahli parti tidak harus leka dan hanyut dibuai kemenangan ini. Proses untuk memperkukuhkan jentera dan menguatkan parti adalah satu proses yang berterusan dan tidak boleh berhenti,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Jalaluddin berkata demikian mengulas ucapan dasar Zahid dalam PAU 2021 yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Jalaludin turut melihat proses pengukuhan UMNO akan gagal jika ada pihak yang menimbulkan bibit-bibit pertelingkahan dan perpecahan di dalam keluarga besar UMNO ini.

“Segala strategi, kepakaran dan peluru yang kita ada, harus kita gunakan untuk menjatuhkan pihak lawan, bukan menjatuhkan sesama Keluarga UMNO sendiri.

“Dalam usia UMNO yang hampir mencecah 76 tahun, UMNO sudah menjadi parti yang cukup matang dan arif dengan selok belok politik negara.

“Kematangan ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi menarik minat golongan muda untuk bersama-sama memainkan peranan dalam parti dan negara.

“UMNO perlu kekal relevan untuk masa yang akan datang, dan perkara ini hanya akan dapat dicapai jika kita membuka ruang yang seluas-luasnya kepada anak muda,” katanya.

Jalaluddin berpendapat keterbukaan UMNO dapat dilihat menerusi PRN Melaka dan Johor apabila kombinasi pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda menjadi satu resipi yang boleh dikatakan ‘menjadi.

“Kita mungkin tidak punya terlalu banyak masa sebelum kita berhadapan dengan ‘peperangan’ sebenar pada PRU-15 nanti.

“Suka untuk saya menasihatkan diri saya dan juga semua kepimpinan parti sama ada di peringkat tertinggi atau di akar umbi, agar manfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya.

“Jika selama ini sudah bekerja untuk rakyat, lipat gandakan lagi kerja. Jika sebelum ini kurang bertemu rakyat, santuni mereka. Jika sebelum ini banyak yang bergerak secara sendiri, rapatkan saf, bergerak bersama-sama dengan semua ahli parti,” katanya.

Jalaluddin juga yakin dan percaya, rakyat sudah dapat menilai mana intan dan mana kaca. Rakyat dapat melihat keikhlasan UMNO untuk membela nasib dan bersama-sama dengan mereka.

“Kita ambil roh semangat perjuangan asal UMNO sewaktu ditubuhkan dahulu, dan kita resapi dengan semangat kebangkitan UMNO hari ini.

“Insyaallah, UMNO akan terus Bersatu, Bersetia, Berkhidmat demi Agama Bangsa dan Tanah Air. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!” tulisnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button