Nasional

Kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Kemboja akan dinilai

KEMAJUAN hubungan dua hala antara Malaysia dan Kemboja akan dinilai menerusi menerusi Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC).

Suruhanjaya itu akan  mengkaji dan menilai kemajuan kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam sektor penting.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Luar kedua-dua negara telah diarah untuk  menetapkan tarikh mesyuarat suruhanjaya berkenaan.
Menurut Anwar, JCBC akan memperluaskan skop kerjasama untuk memasukkan sektor baharu yang menawarkan faedah bersama.
“Isu seperti keterjaminan makanan, kerjasama penyelidikan, pelaburan, industri halal, tenaga boleh diperbaharui serta industri berteknologi tinggi.
“Ia termasuk kenderaan elektrik (EV) dan kepintaran buatan (AI) akan dibincang dan diterokai bersama ,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sempena lawatan rasmi sehari rakan sejawatnya itu ke Malaysia.
Perdana Menteri juga menjelaskan, Jabatan Kastam kedua-dua negara akan memudahkan pergerakan barangan dan perbincangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung perkara itu telah dimulakan.
Sementara itu Hun Manet menjelaskan masih banyak peluang ekonomi antara kedua-negara yang boleh diterokai.
“Dagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja menunjukkan hasil yang baik dan terdapat beberapa potensi yang belum diterokai.
“Untuk merancakkan lagi kerjasama ekonomi, kami menggariskan peranan aktif sektor swasta kami bagi merancakkan lagi kerjasama ekonomi dan inisiatif pembangunan,” katanya.
Beliau turut menghargai peranan aktif yang dimainkan Malaysia dalam proses damai di Kemboja pada awal 90-an.
Terdahulu, Hun Manet tiba di Bangunan Perdana Putra di sini yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, disambut oleh Anwar pada kira-kira jam 10.15 pagi.
Sebaik tiba beliau diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini dan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, sebelum Hun Manet dibawa memeriksa Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button