Nasional

Karya filem pendek pelajar MMU bakal ditayang di luar negara

Universiti Multimedia (MMU), salah sebuah universiti terkemuka dalam bidang teknologi maklumat dan kreatif multimedia, dijangka memperkukuhkan lagi nama dan kedudukannya dalam bidang pendidikan berkaitan pembikinan filem di persada antarabangsa.

Ia berikutan langkah Wisma Putra bercadang ingin mengetengahkan filem-filem pendek hasil karya pelajar MMU di pameran-pameran filem antarabangsa tidak lama lagi.

Saifuddin Abdullah (kanan) menyerahkan Surat Niat kepada Mazliham Mohd Su’ud semasa lawatan ke MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dalam kunjungannya ke MMU baru-baru ini memberitahu, Wisma Putra menerusi bahagian kebudayaannya telah menghadiri banyak program kebudayaan dan pesta filem antarabangsa, namun kandungan kreatif dari Malaysia masih kurang dipamerkan kepada pengunjung.

Saifuddin Abdullah (tengah) meninjau Sound Stage Studio di FCA semasa lawatannya ke MMU Cyberjaya.

“Kerajaan akan mempromosikan kandungan kreatif dari Malaysia seperti filem-filem pendek dan buat permulaan kita bercadang memaparkan filem-filem yang dihasilkan oleh pelajar MMU di luar negara sebagai contoh di Eropah seperti Jerman dan Belanda,” katanya.

Saifuddin Abdullah (tengah) meninjau Sound Stage Studio di FCA semasa lawatannya ke MMU Cyberjaya.

Saifuddin berkata, filem-filem pendek MMU yang dihasilkan para pelajar, didapati berkualiti serta mempunyai nilai sosio budaya negara ini, dan ia sesuai juga ditayangkan kepada diplomat-diplomat asing yang berkunjung ke Malaysia.

Sementara itu, Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud melahirkan rasa teruja dan gembira dengan perkembangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang telah diraih oleh para pelajar dan alumni MMU sebelum ini.

Saifuddin Abdullah dan delegasinya menonton filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar MMU di MMU Cyberjaya.

“Dengan bimbingan para pensyarah, beberapa pelajar MMU sebelum ini telah berjaya membawa filem mereka ke pesta-pesta filem terkemuka antarabangsa seperti Singapore International Film Festival, Cardiff International Film Festival (UK), dan Fano International Film Festival (Itali).

“Antara judul filem dihasilkan pelajar MMU yang mendapat anugerah antarabangsa ialah Weeping Birds, Samudera, Suraya, Torture, The Gold Chain, Kantoi, Spotlight dan banyak lagi,” tambahnya.

Prof. Mazliham berkata, alumni-alumni MMU adalah antara pemain utama industri perfileman dan kandungan kreatif tanahair. Antara mereka ialah Nizam Razak, yang pernah terlibat dalam penghasilan filem animasi Upin Ipin serta menjadi pengarah kepada filem animasi Boboiboy, manakala Muhammad Usamah Zain Yasin pula menghasilkan Ejen Ali, filem animasi terkenal waktu ini.

Saifuddin Abdullah dan delegasinya diberi taklimat oleh Dekan FCA, Amir Shahlan (berdiri, kanan), di MMU Cyberjaya.

“Selain itu, Ghaz Abu Bakar yang merupakan pengarah filem, Polis Evo 1 juga adalah alumni MMU, manakala pensyarah dan alumni MMU, Vimala Perumal adalah pengarah filem Tamil blockbuster, Vedigundu Pasangge yang menerima pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, sebahagian alumni FCA turut memberi impak besar dan menyumbang kepada industri apabila mereka memegang jawatan penting dalam syarikat penghasilan kandungan kreatif seperti Astro Shaw and VIU Malaysia.

Dalam pada itu, semasa kunjungan Saifuddin ke MMU, beliau turut menonton beberapa filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar MMU serta meninjau kemudahan produksi filem di kampus Cyberjaya.

MMU menubuhkan Fakulti Seni Senimatik pada tahun 2016 untuk menghasilkan graduan dalam industri kreatif dan perfileman. Di awal penubuhan fakulti berkenaan, ia telah berkolaborasi dengan University of Southern California (USC), Amerika Syarikat, yang merupakan sebuah universiti terkemuka dunia yang telah menghasilkan alumni masyhur seperti George Lucas yang mengarahkan filem Star Wars.

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button