MahkamahNasional

Jika Yang di-Pertuan Agong beri pengampunan kepada Najib Razak…

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Hukuman penjara dan denda RM210 juta yang diputuskan oleh mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.

Abu Talib berkata, terpulang kepada Najib bilakah beliau mahu memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini bukan rayuan tetapi hanya prosedur pentadbiran,” kata Abu Talib yang mempunyai rekod berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun iaitu dari 1980 hingga 1993.

Abu Talib berkata demikian ketika ditanya soalan, apakah jalan yang ada bagi Ahli Parlimen Pekan itu sekarang setelah Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukumannya.


Najib sebelum ini didapati bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang di Putrajaya dan Kuala Lumpur antara 2010 dan 2015.

Abu Talib berkata, Agong akan memanjangkan sebarang permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 42(11) Perlembagaan Persekutuan.

Foto Ihsan Istana Negara

Baginda kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat lembaga itu, jelas Abu Talib.

“Ahli Lembaga itu hendaklah terdiri daripada peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih tiga individu lain yang dilantik oleh Agong”, ujar beliau.

Abu Talib berkata, Jabatan Perdana Menteri juga akan menyediakan laporan untuk lembaga itu.

“Perkara 42 (9) menyatakan sebelum mengemukakan nasihat mereka, lembaga hendaklah mempertimbangkan sebarang pendapat bertulis yang mungkin dikemukakan peguam negara,” katanya.

Untuk rekod, Abu Talib adalah Pendakwa Raya ketika kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris disabitkan kesalahan rasuah pada akhir tahun 1970-an.

Abu Talib adalah Peguam Negara ketika bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ketika itu, Datuk Mohamad Taha Talib pada 1982.

“Kedua-duanya diberi pengampunan hanya selepas menjalani hukuman penjara untuk satu tempoh,” katanya. – SUMBER FMT – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button