Nasional

Jemaah solat Aidiladha boleh pilih solat Jumaat atau Zohor – Mufti Perlis

Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan bahawa jemaah yang telah hadir solat Aidiladha mempunyai pilihan samada hendak menghadiri solat Jumaat atau menunaikan solat Zohor di rumah.

“Pandangan sebahagian fuqaha’ khususnya dalam mazhab Hanbali yang memberikan pilihan kepada jamaah yang telah menunaikan solat Aidiladha untuk tidak hadir solat Jumaat kelihatan amat sesuai di musim Covid-19. Ini kerana ia boleh mengurangkan jemaah terlibat dengan perhimpunan besar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah perutusan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengenai kebenaran solat Aidiladha dengan pematuhan SOP yang dikeluarkan semalam.

Tambah Mohd Asri, jika dilihat kepada maqasid meninggikan syiar agama, maka syiar perhimpunan besar umat Islam pada hari Jumaat telah tertunai dengan solat hari raya.

“Selain itu, pentadbiran agama di Perlis juga mengingatkan bahawa dari sudut hukum, seseorang yang telah menunaikan solat Aidiladha tidak wajib mendengar khutbah selepas solat. Jika mereka mahu, mereka boleh pulang awal terutama jika keadaan terlalu padat di masjid. Namun sebaliknya, jika tidak sesak, maka mendengar khutbah adalah sesuatu yang berpahala dan digalakkan,” tambah beliau.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Tuanku Raja Muda Perlis mengingatkan masyarakat supaya perlu bijak menggunakan media sosial. Menurut baginda, WhatsApp, Facebook, Instagram, Twitter, Wechat dan sebagainya menjadi minat masyarakat yang begitu ketara. Ini bukan sahaja mendatangkan kesan positif malah negatif.

Perkembangan dalam teknologi komunikasi memberikan impak terhadap perkembangan maklumat. Hal ini menjadikan rakyat Malaysia secara amnya dan negeri Perlis secara khususnya tidak ketinggalan untuk lebih terbuka kepada sumber maklumat dan tidak bergantung kepada media penyiaran tempatan semata-mata. Justeru, sejauh manakah siaran media global ini memberikan impak kepada budaya negara ini hendaklah di manfaatkan dengan sebaik mungkin oleh rakyat dan tidak sebaliknya.

Demikian titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh bekas Ketua Setiausaha Negara ke 14, Tan Sri Ismail Bakar di Bilik Tuanku Canselor, kampus Jejawi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semalam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button