fbpx
Nasional

Jelajah SSPN beri impak, Ketua Menteri janji bantu pelajar gagal bayar hutang PTPTN

KUCHING – Siri Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di beberapa daerah Sarawak yang berlangsung bulan lepas mula mendapat perhatian kerajaan negeri apabila mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi membantu graduan yang menghadapi kesukaran membayar balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula tahun depan.

Peruntukan itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri ke 18 baru-baru ini.

Menurut Abang Zohari lagi, usaha ini diwujudkan sebagai mekanisme yang berkesan untuk membantu mereka berhadapan masalah membayar balik pinjaman PTPTN.

Menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, komitmen Kerajaan Sarawak mahu membantu meringankan beban golongan graduan negeri itu yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman ini adalah satu usaha yang baik sekali gus mengurangkan tekanan dihadapi mereka akibat kesukaran mendapat pekerjaan.

Dalam siri Jelajah SSPN yang turut dihadiri pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan dan Jaziri Alkaf baru-baru ini antaranya di Bintulu, Julau, Mukah dan Belaga, ia ternyata memberi impak besar kepada penduduk luar bandar terutama mengenai kepentingan menabung demi masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.


“Pihak Bersatu Sarawak menghargai usaha kerajaan negeri yang prihatin dengan usaha kami menjelajah kawasan pedalaman untuk berkempen tentang kepentingan SSPN serta keperluan membayar semula hutang pinjaman pendidikan yang disediakan oleh PTPTN.

“Bersatu Sarawak komited dalam membantu permasalahan dihadapi rakyat dan kami akan menjelajah seluruh Sarawak untuk melihat sendiri dan membantu selagi yang terdaya kerana kita tidak mahu melihat ada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan yang kini rancak dilakukan Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” kata Jaziri Alkaf.

Ujarnya lagi, ketika ini Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan Dr. Mahathir adalah satu usaha pembangunan yang dilihat mampu memberi suntikan baharu terhadap ekonomi Malaysia, oleh itu tidak ada sesiapa pun terutama rakyat Sarawak yang tertinggal dalam arus pembangunan yang telah dirancang.

“Wawasan ini akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan etnik.

“Hasil daripada Wawasan Kemakmuran Bersama ini akan lebih menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan mampu dirapatkan sekali gus menjamin pembelaan serta mengangkat martabat semua golongan rakyat di negara ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button