JB-Singapura dibuka semula sepenuhnya mulai 1 April
SEMPADAN darat antara Singapura dan Malaysia akan dibuka semula sepenuhnya pada 1 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya di Singapura. hari ini.
Pengumuman ini dibuat ketika Singapura melonggarkan lagi SOP Covid-19nya termasuk menarik balik kebanyakan sekatan untuk pelawat yang divaksin sepenuhnya dan membatalkan keperluan memakai pelitup muka di luar rumah mulai Selasa.
Bulan lepas, Ismail Sabri berkata, sempadan antarabangsa Malaysia akan dibuka semula pada 1 April ini bagi membolehkan rakyat Malaysia membuat perjalanan ke dalam dan ke luar negara seperti yang mereka lakukan sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Pada masa itu, Singapura belum. memberi tarikh yang pasti untuk membuka semula bahagian Tambak Singapura kerana para pegawai sedang membuat perjanjian terperinci dengan Malaysia.
Menteri Perdagangan Singapura, Gan Kim Yong, pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19, berkata, pihak berkuasa pengangkutan dan imigresen negara kota itu sedang menyusun butiran operasi untuk memastikan pembukaan semula yang lancar dan selamat.
Pembukaan sepenuhnya sempadan dengan Singapura adalah antara topik hangat semasa pilihan raya Johor yang berakhir baru-baru ini, dengan parti mengatakan ini akan menjadi rangsangan besar kepada ekonomi negeri itu. – SM