Rencana

JB lengang, kalau sempadan tidak buka, bakal jadi bandar zombie

SELEPAS singgah di beberapa buah bandar di Johor, saya meneruskan perjalanan ibu negeri iaitu Johor Bahru.

Saya jadi bingung dan minda saya gagal berfungsi menyebabkan saya memandu hingga ke Tambak Johor. Akhirnya apabila sampai ke kawasan pantai saya berpatah balik, kerana baru saya sedar saya telah melepasi bandar raya Johor Bahru.

Selepas berpusing sekeliling bandar raya berkenaan saya memutuskan untuk bertanyakan bilik di sebuah hotel. Dari luar kelihatan bangunan hotel berkenaan seperti bangunan tinggal.

Ketika saya masuk ke lobi ternyata hotel berkenaan sekurang-kurangnya hotel empat bintang. Kafe di hotel berkenaan juga telah ditutup yang beroperasi hanya beberapa buah bilik sahaja.

Saya bertanyakan petugas di kaunter dan dia memaklumkan bahawa hotel berkenaan memang buka walaupun ketika pandemik mengganas, tetapi hanya sebahagian sahaja.

Melihatkan susun letak dan bilik hotel berkenaan ia sebuah hotel berkualiti dan tentunya sebelum ini menjadi pilihan pelancong asing khususnya Singapura.

Bagaimanapun kini ia kelihatan seperti sebuah hotel berhantu, menyebabkan saya nak tidur malam pun jadi takut, khuatir diganggu makhluk yang tidak diundang.

Saya sempat bertemu dengan rakan yang tinggal di bandar raya ini dan menurut beliau, keadaan Johor Bahru menjadi agak sibuk disebabkan terdapat pilihan raya negeri. Jikalau tidak suasanya lebih lengang.

Daripada penilaian saya pekan Muar dan Tangkak lebih sibuk daripada bandar raya Johor Bahru.

Jadi apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sempadan negara supaya dibuka, ia adalah wajar bagi meransangkan kembali ekonomi negara khususnya sektor pelancongan yang tengah tenat.

TAN Sri Muhyiddin Yassin (tengah) pada sidang akhbar usai Mesyuarat MPN di Putrajaya, baru-baru ini.

Walaupun ada pihak yang mempersendakan keputusan itu, tetapi kita perlu melihat realiti semasa jika situasi ini berterusan ekonomi negara kita akan runtuh.

Lagipun negara kini sedang memasuki fasa endemik wabak Covid-19. Bermakna walapun kes yang tinggi, tetapi kerana hampir semua penduduk negara ini telah disuntik dengan dua dos vaksin ia dapat meredakan kesan sampingan penyakit itu dan kes tenat serta kematian adalah rendah.

Selain itu seluruh penduduk dunia sudah memahami prosedur standard bagi mencegah penularan penyakit berkenaan, mereka akan berhati-hati bagi mengelakkan daripada dijangkitinya.

Berita yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sempadan negara dengan Thailand akan dibuka dalam masa terdekat adalah melegakan para pengusaha, khususnya sektor pelancongan.

Diharapkan selewatnya awal bulan hadapan sempadan negara sudah dibuka dan ini akan mengerakkan kembali ekonomi yang bagi kawasan sempadan yang hampir pegun masa ini.

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button