Jawi, Demokrasi dan Integrasi Nasional
Oleh Jazimin Zakaria
Isu pengenalan khat jawi di sekolah telah mengundang polemik besar dalam kalangan masyarakat negara ini. Cetusan idea oleh Dr Maszlee Malik selaku menteri pengajian tinggi telah mendapat reaksi hebat dari pelbagai pihak yang merasakan peri pentingnya dasar pendidikan kebangsaan kepada mereka.
Walaupun isu jawi ini telah menjadi punca pertikaian kepada pihak-pihak tertentu dalam masyarakat namun keadaan ini membuktikan bahawa demokrasi sedang berlaku dan dipraktiskan secara efektif seperti kemunculan masyarakat sivil serta kebebasan bersuara.
Kini transisi demokrasi Malaysia menjadi lebih baik dengan isu khat jawi yang sedang diperkenalkan. Rentetan dari itu beberapa pertubuhan pendidikan Cina dan India menentang cadangan ini dengan alasan tidak membantu dalam penguasaan Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah serta kebimbangan terhadap Islamisasi.
Keadaan ini dikeruhkan lagi dengan sosialisasi politik yang tidak sihat negara ini dengan ahli politik yang sering melontarkan kenyataan yang mampu mencetuskan ketegangan antara kaum.
Ironinya tulisan khat jawi harus dilihat dari sudut ilmu pengetahuan dan nilai tambah agar lebih terbuka. Pendidikan merupakan mekanisme terbaik dalam mewujudkan masyarakat yang lebih integrasi dan lebih memahami satu sama lain.
Negara ini meraikan kewujudan sekolah vernakular atas nama integrasi nasional dan inklusif yang mengekalkan identiti kaum lain. Malah ia turut dilihat sebagai salah satu aset intangible yang diterima sebagai keunikan negara ini.
Justeru tulisan khat Cina turut dipelajari di sekolah jenis kebangsaan Cina sebagai salah satu seni budaya dan semua murid harus mempelajarinya tanpa mengira kaum atau agama. Mungkin tidak salah khat Jawi diangkat menjadi salah satu seni budaya yang harus dikongsi serta dirai bersama.
Dalam proses menuju pembentukan Malaysia selepas 1957, negara ini pada hakikatnya telah meninggalkan proses yang sangat penting dalam pembentukan negara bangsa iaitu proses asimilasi.
Walaupun kedengaran agak ekstrem namun asimilasi kepada imigran sebagai minoriti tidak bermaksud secara ekstrim seperti yang berlaku di Thailand dan Indonesia sehingga mengharamkan tulisan, sekolah, persatuan, akhbar dan pelbagai lagi.
Asimilasi lunak seharusnya berlaku dalam konteks sosial seperti pendidikan dan pembinaan identiti. Maka secara beransur-ansur tembok prejudis itu mampu diruntuhkan melalui pemahaman dan pergaulan.
Walaubagaimanapun Malaysia telah bertahan dengan kepelbagaian yang ada pada satu sama lain dengan meninggalkan asimilasi dan terus memacu integrasi.
Selepas tragedi 1969, konflik yang telah berlaku di kampong medan, rusuhan di Low yatt, isu ICERD dan Statut Rom akhirnya telah mengembalikan masyarakat berbilang kaum negara ini kepada sentimen yang sama.
Tragedi yang menyedihkan telah ditunjukkan dengan mobiliti politik etnik yang dimainkan seperti di Indonesia sejurus selepas Pilihanraya presiden Indonesia 2019 (Pilpres) mendapat keputusan.
Etnopolitik yang digerakkan atas nama demokrasi atau kebebasan bersuara hanya mengundang insiden yang lebih parah.
Mungkin bukti ini sudah cukup untuk bangsa Malaysia menoleh kebelakangan bagi melihat keamanan yang telah terbina lalu menilai kembali harga yang perlu dibayar untuk kehilangan semua ini.
Dalam pada itu isu khat Jawi secara tidak langsung telah menjadi indikator penting dalam mengukur tahap integrasi nasional di negara ini.
Hubungan antara kaum sedang diuji serta dinilai kekuatannya. Keputusan pilihan raya ke 14 lalu telah memberikan gambaran penting dengan keputusan pengundian yang merentas batas kaum atau etnik atas semangat Malaysia Baharu.
Namun sehingga kini masih lagi terdapat isu-isu dan insiden masyarakat yang membawa kembali kepada keterikatan kaum yang kuat.
Dalam memahami isu ini setiap pihak dilihat mempunyai konflik kepentingan yang tinggi. Penjenamaan semula masyarakat yang lemah dan cenderung kepada konflik adalah disebabkan ruang demokrasi itu disalahertikan untuk lebih bersikap etnosentrik.
Oleh yang demikian, sebuah masyarakat yang demokratik harus berani menerima perubahan serta terbuka untuk memberi kepercayaan kepada satu sama lain.
Sikap prejudis tidak akan membantu kepada pembangunan negara untuk bergerak lebih jauh kehadapan serta integrasi nasional akan sukar untuk disantuni jika masyarakat sivil masih lagi tidak melihat diri mereka sebagai bangsa Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di UiTM Raub Pahang