Politik

Jangan riak dengan kemenangan – Zahid Hamidi

DUA kejayaan UMNO menang dalam pilihan raya negeri, Melaka dan Johor menandakan rakyat memberi mandat yang besar dan sebagai balas budi, berbakti dan berkhidmat, bukan riak, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata, rakyat mahu melihat mereka yang menang dan diberikan mandat, bertindak cepat dan bertutur dengan cermat kerana rakyat memerhati.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di World Trade Centre, Kuala Lumpur turut mengingatkan Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Johor yang baharu dilantik supaya tidak lalai dan alpa.

“Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Johor, jangan leka. Kepercayaan yang diberi, terjemahkan untuk mandate baru pada pilihan raya umum (PRU) nanti,” katanya.

Zahid berkata, beliau dengar ucapan Timbalan Presiden, Datuk Mohamad Hassan (Tok Mat Hassan) dan nasihat yang disampaikan kepada para perwakilan.

“Apa yang disampaikan oleh Tok Mat adalah jelas dan perlu dihayati oleh semua. Ia amat berguna pada PRU nanti,” ujar beliau.

Kata Zahid lagi, ucapan dan nasihat yang diberikan mungkin membuatkan ada yang terasa dan dalam masa yang sama, Zahid turut menyifatkan ucapan Ketua setiap sayap adalah bernas.

“Ucapan setiap sayap, amat bernas. Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya lihat dalam diri ada harimau. Saya, yang keluar kambing,” kata Zahid dalam kata-kata metafora.

Bagaimanapun kata Zahid, nasihat daripada ucapan-ucapan Timbalan Presiden parti dan Ketua-Ketua sayap pasti berguna untuk memperkukuhkan lagi strategi parti pada PRU akan datang.

“Harap kita di barisan bukan hanya mendengar tetapi menghayati hasrat mereka. Itu yang penting,” ujar Zahid.

Sebagai Presiden parti, Zahid turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan terima kasih kepada Kerajaan kerana meluluskan sekali pengeluaran KWSP.

“Syabas dan tahniah Perdana Menteri. Kerajaan luluskan pengeluaran KWSP. Ini suara akar umbi. Sebenarnya ini perjuangan dari UMNO. Bukan dari pembangkang,” kata Zahid. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button