Analisis
Orang Melayu hari ini sudah hilang akar umbinya. Hendak pertahankan bahasa, bahasa Melayu kita sudah luntur.
Bahasa Mandarin, Inggeris naik mencanak. Ini kesilapan sistem pendidikan. Juga silap Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak mengagungkan bahasa kita.
PENANGAN DONG JIAO ZONG
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi lagi. Perkara 160 (2) memperincikan orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu serta bertutur menggunakan bahasa Melayu. Lihatlah sekeliling kita, habis cacamarba tatabahasa Melayunya.
Justeru, jangan menyingalah Perdana Menteri kita kalau Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) mahu menganjurkan satu kongres menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.
Jangan halanglah Dong Jiao Zong ini yang dilaporkan begitu mendesak pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan.
Sudah tentu isu-isu ini suatu dilema bagi bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang tidak berkesudahan.
Bukankah ‘sepak terajang’ Dong Jiao Zong yang mahu kikis tulisan Jawi boleh dikekang jika kita orang Melayu terutama pemimpinnya bersatu. Tidak boleh ada anjakan.
DAYUS
Cuba perhatikan isu lagu Negaraku baru-baru ini yang dinyanyikan dalam bahasa Mandarin oleh sekumpulan murid sekolah di salah satu SJK(C) di Negeri Sembilan. Bila dipersoalkan ramai, apa kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Amin Senin? Katanya: “(Nyanyian) Negaraku dalam Mandarin untuk bantu murid faham, bukan acara rasmi”. Bukan ini dayus namanya.
Lihat negara tetangga kita, Singapura. Tiada masalah pun rakyat yang majoritinya kaum Cina menyanyikan lagu Kebangsaan “ Majulah Singapura”.
Kita pemimpin Melayu jangan mengalah, cepat putus asa untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Orang Cina yang muda-muda ini apa yang mereka tahu tentang bahasa Melayu. Tidak boleh salahkan mereka.
Sewajarlah dalam isu tulisan Jawi di sekolah, memang itulah prinsip tulisan bahasa asal – mesti dipertahankan sehabis mungkin.
RAFFLES DAN JAWI
Bila mana Stamford Raffles mendarat di Singapura, beliau menggunakan tulisan Jawi dalam perjanjiannya dengan pihak Sultan Johor. Tulisan Jawi pernah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-18 hingga penjajah Inggeris di Tanah Melayu perlu belajar dan membaca tulisan itu. Ini dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British antara tahun 1786 hingga 1794.
Demikian juga tulisan Jawi digunakan dalam Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.
Alahai! Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak pun dari lapangan Anglo. Prinsip mesti ditanam untuk pertahankan apa yang sepatutnya dibela.
Perkara 160, juga Perkara 153 (menjaga hak istimewa Melayu) orang sudah tidak tengok lagi dah.
Begitulah nasib…nasib Melayu.
– SUARA MERDEKA