“Jangan asak saya hingga ke dinding, saya bukan maksum” – Zahid Hamidi
“JANGAN uji saya sangat-sangat. Jangan asak saya sampai ke dinding. Saya bukan maksum,” begitu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi antara ucapan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) bertempat di World Trade Centre, Kuala Lumpur, hari ini.
Kata-kata spontan yang terpacul dari mulut Zahid menggambarkan kepada para perwakilan dan pemerhati yang hadir pada PAU2021 bahawa beliau sebenarnya mempunyai tahap kesabaran yang tebal tetapi jika keterlaluan diasak, tidak mustahil Zahid bangkit dan melawan.
Dalam sinis, Zahid memberitahu segala apa yang dialaminya sepanjang memimpin parti termasuk dicop sebagai Kluster Mahkamah, sebenarnya menguji kesabarannya.
Justeru Zahid mengingatkan semua pihak bahawa bukanlah budaya kita mencerca kawan.
“Budaya kita tidak mencerca kawan. Kita perlu sentiasa berwaspada but we have to draw the line dalam persahatanan,” tegas beliau.
Dalam bersahabat, kata Zahid, ada kawan yang akan berkawan sampai mati.
“Kita berkawan, kawan dunia akhirat. Ada kawan yang setia dan taat kepada parti. Dalam lawan ada kawan, dalam kawan ada lawan.
“Namun kita lihat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Untuk mengingatkan diri, jenama kita, adalah Barisan Nasional (BN).
“Selepas PRU14, BN telah distrukturkan semula. Datuk Seri Najib, Tok Mat, Datuk Seri Ismail Sabri, Tok Det, Tok Khalid dan saya.
“Kami berlima menjenamakan semula UMNO dan BN sebab kita mahu menuju masa depan yang lebih gemilang. Kita mahu membentuk kerajaan yang lebih dominan,” tegas Zahid.
Zahid juga berkata, satu ketika, 15 Ahli Parlimen UMNO yang tarik dari sokongan kepada kerajaan dan 23 lagi Ahli Parlimen UMNO yang sokong kini bersatu hati.
“UMNO mesti bergerak seiringan dengan kerajaan hari ini. Kita memperkuatkan parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kuatkan kerajaan,” katanya. – SM