Politik

Isu PSS: Nanti menangis air mata darah pun kita tidak boleh ambil balik

BEKAS ahli parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menyalahkan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau iaitu Ahli Parlimen Tuaran menjadi punca kepada segala permasalahan di Sabah.

Menurut Anifah oleh kerana Madius melompat dari parti Barisan Nasional ke Warisan maka mereka menjadi kerajaan dan Sabah dirundung pelbagai masalah.

Masalah yang paling utama ialah Pas Sementara Sabah atau PSS, kata beliau tidak akan timbul jika senario itu tidak berlaku.

“Jadi orang yang bertanggungjawab terhadap isu PSS ini adalah Madius Tangau, dia gadai negeri kita. Isu PSS tidak akan timbul kalau Warisan bukan kerajaan. Orang yang pertama yang mengakibatkan darurat anak kita akan datang adalah Madius Tangau,” tegas beliau.

“Ini bukan sebab Cina, bukan sebab Kadazan, bukan sebab Brunei tapi adalah sebab masa depan generasi akan datang di Sabah ini apabila kita wariskan kepada mereka… ia harus lebih baik dari hari ini.

“Tapi apa yang berlaku? Nanti menangis air mata darah pun kita tidak boleh ambil balik,” ujarnya lagi.

Tambah Anifah, dari awal lagi baik sebelum pilihan raya atau waktu pilihan raya, beliau sentiasa menegaskan tidak mahu melihat anak-anak Sabah menjadi pendatang di negeri sendiri.

Anifah dalam pada itu melahirkan rasa kesal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjalankan tugas dengan telus.

Jelasnya, diri beliau sendiri adalah bukti yang menjadi mangsa kecuaian SPR.

“SPR yang buat kecuaian itu mengapa saya menjadi mangsa? Saya berterima kasih kepada rakyat Kimanis yang mengundi saya tapi saya tertanya-tanya kenapa SPR tidak merayu sedangkan kesilapan itu adalah kesilapan mereka dan mereka boleh jelaskan dalam mahkamah.

“Jadi kalau saya bertanding semula seolah-olah saya mengiktiraf keputusan mahkamah. Sebab itu saya akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin,” ujar beliau di Kimanis.

“Madius Tangau derhaka kepada parti, bertanding atas parti BN tapi lompat. Kalau dia tidak lompat tidak mungkin isu PSS ini akan timbul.

 

.
Dilaporkan, pada 2 Disember lalu Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan kemenangan Anifah dalam PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang didakwa boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menetapkan PRK Kimanis dilaksana.

SPR telah menetapkan Parlimen Kimanis diadakan pada 18 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari.

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button