Politik

“Isu pengampunan Najib, kenyataan Kian Ming bukan kenyataan rasmi DAP,” – Mahfuz

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan bahawa DAP adalah ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau turut menegaskan, tidak berlaku kecelaruan antara kedua-dua gabungan itu seperti didakwa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya yang juga Pengerusi PH Kedah, perkara seperti itu tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana parti komponen dalam gabungan itu masing-masing mempunyai pandangan tersendiri.

“Berbeza pandangan dalam sesuatu isu adalah asam garam dalam berpolitik apabila dianggotai pelbagai parti yang membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Namun ia bukan bermaksud dalam PH ada ‘abang besar’, DAP bukan ‘abang besar’ PH.

“Dalam isu pengampunan Najib, kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming bukan kenyataan rasmi DAP. Beliau bukan mewakili DAP lagi sebagai wakil rakyat, pemimpin DAP lain tak kata apa pun. Jadi saya tak boleh rujuk kenyataan beliau sebagai kenyataan rasmi DAP,” katanya pada sidang media.

Pada Selasa lalu, Ong membuat peringatan agar batasan yang ada dalam jalinan kerjasama PH dan BN tidak boleh dilanggar, antaranya termasuk pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

Sebelum ini, Amanah memohon maaf kepada Umno atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasinya Khalid Abd Samad berhubung isu pengampunan terhadap Najib.

Ia menimbulkan polemik antara pemimpin Amanah, Umno dan DAP apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan berbeza.

Susulan itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi menyifatkan kerjasama antara PH dan B) didakwa berdepan kecelaruan selain melahirkan simpati kepada Amanah yang seakan ditekan oleh ‘abang besar’ dalam PH.

Mahfuz sebaliknya menyifatkan tindakan pemimpin Amanah membuat permohonan maaf sebagai amalan mulia untuk menjernihkan kekeruhan yang timbul susulan daripada kenyataan pelbagai pihak.

“Yang penting pemimpin tahu cara untuk menjernihkan kekeruhan yang sedikit sebanyak berlaku. Dalam rumah tangga macam itulah, kadang-kadang laki bini (suami isteri) hari-hari gaduh, itu asam garam dalam rumah tangga dan juga politik,” katanya.

Mahfuz turut meminta semua pihak agar menyerahkan isu terbabit untuk diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button