Nasionalpilihan

Ismail Sabri sangat mesra dengan masyarakat Sarawak – GPS

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat sangat mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar, termasuk penduduk di Sarawak.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Ismail juga pernah mengadakan lawatan ke Sarawak beberapa kali termasuk di Kapit pada 2010.
“Ketika itu, saya melihat bagaimana beliau tidak kekok mendekati rakyat di Kapit dan kelihatan selesa bermalam serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang diadakan di Dewan Suarah, Kapit,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke sembilan negara.
Menurut Alexander, pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi amat tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Malah, keupayaan beliau juga terbukti ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) yang mengendalikan isu-isu berkaitan COVID-19 secara langsung selama hampir 17 bulan.
“Selain itu, beliau pernah menjawat beberapa jawatan menteri sejak 2008 lagi. Antara jawatan pernah disandangnya adalah Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang mewakili GPS berharap semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ujarnya, semua harus mengenepikan segala perbezaan ketika ini dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.
“GPS percaya dengan kemampuan Ismail Sabri dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan seterusnya keluar daripada krisis yang sedang melanda,” katanya. -SM
(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button