NasionalNegeri

Pengeluar Dolomit bantu Bakul Makanan penduduk terkesan Covid-19

PANDEMIK Covid-19 telah membuatkan ramai yang terkesan khususnya ekonomi. Bagaimanapun golongan yang menghadapi masalah kewangan tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa perhatian.

Beruntungnya rakyat Perlis apabila sebuah syarikat pengeluar dolomit untuk pertanian yang beroperasi sejak 15 tahun lalu di Felda Rimba Mas, Padang Besar telah sudi menghulurkan bantuan kotak makanan untuk diagihkan kepada yang layak.

Program kedua bakul makanan diadakan sempena Program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Al-Hakam Kok Klang, Chuping.

Pengurus Besar, Perlis Dolomite Industries (PDI) Sdn. Bhd., Mohd Nazif Saparman berkata, ini merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan sempena Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-78.

Beliau berkata, pengagihan bakul makanan bernilai RM30,000 ini disampaikan di tiga masjid terpilih di Perlis.

Mohd Nazif berkata, sebanyak 200 bakul makanan bernilai RM10,000 diberikan pada setiap masjid tersebut.

Katanya, pengagihan bakul makanan kepada penerima telah diadakan sempena dengan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Beliau berkata, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs telah berkenan hadir pada program pertama yang diadakan di Masjid Al-Raudhah, di Sungai Batu Pahat, Kangar pada minggu lepas.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Beliau berkata, program kedua telah diadakan di Masjid Al-Hakam, Kok Klang, Chuping, semalam.

Mohd Nazif berkata, pihaknya masih belum menetapkan masjid yang bakal dipilih untuk minggu depan yang merupakan program terakhir pemberian bakul makanan. – SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button