Hiburan
Insomniacks sedia buat lagu ‘komersial’
BAGI sesetengah kumpulan, antara keinginan yang paling dikehendaki apabila bernaung di bawah syarikat rakaman adalah kebebasan untuk berkarya dengan acuan mereka sendiri dan bukannya di kawal.
Ada yang tidak boleh menerima perkara demikian membuat banyak kumpulan lebih selesa bergerak sendiri.
Berbeza pula bagi kumpulan Imsoniacks yang dianggotai oleh Iskandar (bes); Iqie (vokalis dan gitar utama; Danial (gitar ritma) dan Gavin (dram).
Selesa menghasilkan karya sendiri untuk lagu-lagu mereka, Iskandar berkata, mereka juga terbuka untuk membuat lagu-lagu berunsurkan komersial.
“Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada mana-mana komposer yang mahu bekerjasama. Kami okay dan tidak ada masalah. Macam sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir. “
“Apabila bersama Universal Music pula, mereka pun okay kalau lagu daripada kami. Sebab mereka tahu kami suka tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang lebih komersial. Jadi, tidak ada masalah mencuba, mana yang terbaik kami terima,” katanya.
Dalam pada itu, lagu Imsoniacks yang berjudul Pulang mencatat rekod membanggakan apabila menjadi juara Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selama 146 minggu.
Malah, muzik video lagu tersebut juga telah mencatatkan sebanyak 25 juta tontonan di YouTube.
“Sejujurnya, lagu ini adalah lagu yang kami cukup banggakan. Sewaktu menulis lagu ini kami sudah berasa ia sangat istimewa. Apabila ia berjaya diterima baik, memang sangat gembira. Sampai sekarang pun ramai cakap suka lagu ini.”
“Malah, kalau kami bawakan lagu ini ramai turut menyanyi bersama. Terima kasih kepada semua yang sudah dan terus menyokong kami. Tanpa sokongan semua pihak, kami takkan berada pada tahap ini,” katanya.
Berkongsi sasaran dan impian Insomniacks, Iskandar berkata mereka mahu membawa muzik dan memperkenalkan jenama mereka menerusi siri jelajah di seluruh Malaysia.
“Sasaran kami sejak dari dulu lagiadalah nak menjelajah seluruh Malaysia. Sebelum ini sudah pernah tapi beberapa negeri saja. Jadi, jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti, kami mahu teruskan.”
“Dalam masa sama, sambutan peminatterhadap Insomniacks juga semakin bagus. Apatah lagi kami turut buat sesi siaran langsung streaming padasetiap Jumaat di Youtubeselain mewujudkan kumpulan Telegram, Maniacks. Dari situ mereka lebih mengenali kami,” katanya. -SM