fbpx
Nasional

Insiden Jalur Gemilang terbalik di Klang disebabkan ‘tersalah pasang’

INSIDEN Jalur Gemilang digantung secara terbalik di sebuah gereja di Persiaran Rajawali, Klang yang tular di media sosial hari ini disebabkan ia ‘tersalah pasang’ oleh seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata insiden bendera Malaysia dipasang terbalik itu disedari seorang lelaki warga tempatan yang kebetulan lalu di kawasan gereja berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Beliau berkata susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh lelaki terbabit kerana tidak berpuas hati dengan insiden tersebut.

Bagaimanapun, Nurulhuda berkata siasatan mendapati seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja di gereja itu mengaku memasang Jalur Gemilang berkenaan secara terbalik kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lepas.

“Warga asing itu menyatakan dia terjumpa bendera tersebut di atas lantai akibat ditiup angin semasa hujan lebat dan memasangnya semula di tiang bendera gereja tanpa mengetahui yang ia terbalik.


“Namun, ketika polis tiba di gereja berkenaan, Jalur Gemilang sudah pun dipasang dengan betul oleh lelaki warga asing terbabit selepas seorang paderi gereja yang ternampak insiden itu menunjukkannya cara gantung yang sebenarnya,” katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Nurulhuda berkata kes berkenaan dianggap selesai kerana bendera tersebut telah dipasang dengan betul.

Tular di media sosial hari ini video berdurasi 28 saat menunjukkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah gereja di Klang. – BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button