Nasional

Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyambut baik hasrat Foodpanda Malaysia dalam menyokong inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Beliau yang penyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Ibu Pejabat Korporat foodpanda Malaysia, Bangsar South, berkata, foodpanda Malaysia memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu RAHMAH daripada aplikasi dan laman sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Ibu Pejabat Korporat foodpanda Malaysia, Bangsar South.

“Foodpanda Malaysia akan melaksanakan empat inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH yang terdiri daripada Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini, foodpanda bersama-sama berganding bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu RAHMAH untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Pelaksanaan inisiatif ini, kata beliau, menjadikan foodpanda Malaysia sebagai platform perintis yang menawarkan penghantaran Menu RAHMAH di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das memaklumkan, mereka komited untuk memastikan pelanggan boleh memesan pelbagai penawaran Menu RAHMAH pada semua lokasi di seluruh negara melalui kaedah pesanan yang mudah menerusi dua aplikasi foodpanda.

Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan daripada 238 cawangan restoran seperti OldTown White Coffee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken, Daporlah dan 16 jenama restoran yang lain turut membantu dalam meluaskan lagi capaian Menu RAHMAH dan seterusnya membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat Malaysia.

Beliau berkata, selaras dengan majlis pada hari ini, foodpanda Malaysia turut komited menyumbang sebanyak 300 Bakul RAHMAH bernilai RM15,000 yang akan diagih-agihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan melalui Yayasan RAHMAH Malaysia.

Selain itu, Pandamart iaitu kedai runcit foodpanda turut menawarkan kepada pengguna kemudahan penghantaran barangan runcit terus ke pintu rumah melalui Inisiatif-Inisiatif Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH dengan menawarkan produk makanan dan pakej barangan runcit pada harga mampu milik dengan penjimatan tambahan untuk masa terhad, katanya.

“Pakej RAHMAH oleh Pandamart ini menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30 setiap satu dengan penjimatan sehingga 25% untuk para pembeli yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah untuk barangan keperluan harian mereka,” katanya.

Pada masa yang sama, Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH ini turut memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran yang meluas melalui peningkatan jumlah pesanan dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.  – SM

BACA Kerajaan cadang bangunkan pengkalan data Menu Rahmah

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button